“Saya Dipecat Atas Dasar Anwar Ibrahim” – Hasan Ali - pakdin.my

Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Hasan Ali menyatakan kekesalan dan kekecewaannya berhubung isu pemecatannya sebagai anggota PAS hanya disebabkan oleh dasar ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Timbulnya saya dipecat kerana Anwar Ibrahim. Apa yang saya komen tentang Anwar Ibrahim (sebelum ini) adalah komen peribadi.

“Saya tidak mahu dia mengheret rakyat supaya menjunjung perjuangannya yang dirasakan ‘kotor’. Ini yang saya perjuangkan.

“Saya adalah antara orang PAS yang tidak pernah keluar bersama Anwar Ibrahim untuk menunjukkan justifikasi kenapa Anwar Ibrahim terus dilonjakkan sebagai perdana menteri,” katanya kepada pemberita di kediamannya di sini, malam Ahad.

Hasan berkata, beliau sebagai ahli PAS sendiri mengusulkan Mursyidul Am parti iaitu Datuk Nik Aziz Nik Mat malah mengesyorkan Presiden parti iaitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai perdana menteri.

PAS pada Ahad memutuskan untuk memecat bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Hasan sebagai anggota parti itu berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat jawatankuasa pusat parti itu lebih tiga jam di Kuala Lumpur pada Ahad.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataannya pada Ahad berkata, pemecatan itu dibuat berdasarkan Fasal 82(9) perlembagaan PAS.

Keputusan dibuat berdasarkan kepada tindakan-tindakan Hasan yang menyalahi dan merugikan kepentingan parti seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan PAS.

Terbaru, beliau mempersoalkan kewajaran pemimpin PAS untuk menyertai perhimpunan ‘Bebaskan Anwar 901’ pada Isnin yang dipersetujui oleh Abdul Hadi dan Timbalannya, Mohamad Sabu.

Beliau turut mengkritik kenyataan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali yang menegaskan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan tetap menjadi Perdana Menteri walau apapun berlaku.

Dalam pada itu, beliau turut menyuarakan rasa tidak senang terhadap Azmin Ali yang mendesak pimpinan PAS agar mengenakan tindakan ke atas beliau kerana kritikannya mengenai perhimpunan 901.

“Bagaimana orang PAS boleh ditunjuk (mengenai desakan) kepada presiden dan timbalan presiden (parti),” katanya.

Hasan turut berkata, apa pun yang berlaku sama ada dipecat atau dilucutkan jawatan exco sekali pun, beliau akan terus berjuang untuk Islam, bangsa Melayu dan institusi beraja.

Namun beliau turut tidak meminggirkan yang lain-lain dengan mengatakan: “Hasan Ali akan membantu siapa yang harus dibantu.”

“Walaupun saya berpegang kepada tiga prinsip itu namun kepada seluruh rakyat Malaysia, ini adalah prinsip yang menjadikan Malaysia sebagai negara idaman yang seronok diduduki oleh orang Melayu, Cina dan India juga orang Islam, orang Kristian (dan lain-lain) tetapi mesti mengikut peraturan-peraturannya,” katanya.

Dalam perjumpaannya bersama media dan para penyokongnya di kediamannya pada malam Ahad, Hasan berkata, beliau akan mengadakan satu sidang akhbar khas dalam tempoh seminggu ini.

“Saya akan menjelaskan mengenai beberapa perkara yang bukan sahaja berkenaan dengan pemencatan saya sebagai ahli PAS tetapi juga rentetan peristiwa serta kenapa beliau memperjuangkan tiga isu iaitu Islam, Melayu dan sistem beraja serta apa sebenarnya yang berlaku di mana sebelum tidak dapat dilakukan kerana sekatan sebagai ahli PAS dan tindakan-tindakan saya pada masa akan datang,” katanya lagi.

Selain ratusan penyokong Hasan yang menghadiri perjumpaan itu, antara mereka yang turut serta ialah Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa, Presiden Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali.

UTAMABERITA“Saya Dipecat Atas Dasar Anwar Ibrahim” – Hasan Ali

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium