Saya Minta Maaf Kepada Rakyat Malaysia – Chong Wei - pakdin.my

Kesedihan jelas terpancar di wajah pemain badminton negara, Datuk Lee Chong Wei (kiri) yang tewas kepada pemain China, Lin Dan dalam perlawanan akhir perseorangan lelaki di Wembley Arena di London, Ahad. Chong Wei bagaimanapun meraih pingat perak, bersama pemenang pingat emas Lin Dan (tengah) dan pingat gangsa, Chen Long (kanan).

LONDON, 5 Ogos  — “Saya minta maaf kepada rakyat Malaysia kerana masih gagal menghadiahkan pingat emas buat kali kedua,” kata pemain perseorangan utama negara Datuk Lee Chong Wei.

Begitulah reaksi pemain nombor dua dunia itu ketika ditemui pemberita selepas perlawanan akhir perseorangan lelaki Sukan Olimpik 2012 apabila tumpas 21-15, 10-21, 19-21 kepada pemain nombor satu dunia, Lin Dan dari China dalam masa 79 minit.

Chong Wei berkata tiada siapa tahu penderitaan dan pengorbanannya beraksi di Arena Wembley terutama selepas pulih daripada kecederaan buku lali kanan yang dialaminya semasa Piala Thomas pada Mei lepas.

“Saya terpaksa berehat hampir dua bulan selepas kecederaan itu sedangkan Sukan Olimpik semakin hampir. Tekanan bagi mendapatkan emas semakin kuat tetapi kecederaan menghalang saya untuk berlatih,” katanya.

Beliau berkata dia hanya mempunyai tempoh dua minggu berlatih sepenuhnya ketika menjalani latihan fasa akhir di University of Bath, dekat sini sebelum beraksi di Arena Wembley.

“Di University of Bath, baru saya dapat berjoging, melakukan latihan di gimnasium dan latihan berat lain.

“Prestasi ketika itu dapat diterjemahkan bila saya terpaksa bermain di rubber-set ketika menentang pemain tidak ternama, Ville Lang dari Finland dalam perlawanan peringkat Kumpulan A,” katanya.

Pada perlawanan itu, Chong Wei menang 21-8, 14-21, 21-11.

Mengenai perlawanan menentang Lin Dan hari ini, Chong Wei mengakui pemain dari Tembok Besar China itu berada dalam kelasnya tersendiri dan masih sukar digugat.

“Kehadiran Lin Dan memaksa saya berusaha lebih kuat untuk menewaskannya. Saya rasa Lin Dan juga menghargai kehadiran saya yang selalu membayanginya,” kata Chong Wei.

UTAMAGAYA HIDUPSaya Minta Maaf Kepada Rakyat Malaysia - Chong Wei

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium