Sebuah Badan Perlu Urus Sumbangan Orang Ramai Untuk Mangsa Bencana

Lambakan pakaian sumbangan orang ramai di Manik Urai Lama sedangkan ditempat lain ada yang lebih memerlukan
Lambakan pakaian sumbangan orang ramai di Manik Urai Lama sedangkan ditempat lain ada yang lebih memerlukan

Sebuah badan perlu dibentuk bagi mengurus sumbangan kewangan dan barangan daripada orang ramai, syarikat swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) kepada mangsa bencana alam agar pengagihannya lebih sistematik, cepat dan efektif, menurut ahli akademik.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Dr Abdul Razak Abdul Rahman berkata penyelarasan sedemikian boleh memastikan bantuan dapat disalurkan mengikut keutamaan secara adil dan saksama.

“Segala pengagihan perlu ada penyelarasan bagi mengelakkan hanya kawasan tertentu sahaja yang mendapat bantuan bencana,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Banjir yang bermula sejak pertengahan Disember lepas telah menjejaskan lapan negeri di negara ini terutama Kelantan, Terengganu dan Pahang dengan kemuncak bencana alam itu melibatkan lebih 200,000 mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan.

Beliau berkata pihak swasta dan NGO yang terlibat dengan misi bantuan mangsa banjir pula perlu bekerjasama dengan badan itu agar pengagihan bantuan kewangan dan barangan dapat disampaikan kepada mangsa lebih lancar dan efektif.

Pengurusan sumbangan kewangan orang ramai, pihak swasta dan NGO oleh badan itu dapat menjamin pengurusan dana yang cekap serta mengelakkan pihak-pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan, katanya.

“NGO merupakan sukarelawan dan mereka mempunyai sasaran mereka tersendiri apabila mereka melakukan kutipan dan bantuan tetapi badan itu boleh cadangkan kepada NGO yang terlibat untuk menyelaraskan bantuan,” kata Abdul Razak.

Berkongsi pandangan sama, Setiausaha Agung Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) Prof Dr Azizi Ayob berkata kerajaan wajar menubuhkan satu badan pengumpulan dana bantuan bencana bagi menyelaraskan bantuan untuk diagihkan kepada mangsa bencana sekali gus dapat mengelak penipuan.

“Namun, menjadi masalah di negara kita bila tiada mekanisme yang jelas, proses pengumpulan dan kelemahan pada pelaksanaan. Sekiranya mekanisme banjir dapat dilaksanakan, proses pengumpulan barang-barang mudah dilakukan.

“Ini kerana pada pengalaman saya, yang menjadi masalah besar ialah proses pengedaran bantuan kepada mangsa yang memerlukan,” katanya.

Menurutnya, selain itu, badan itu juga perlu mengeluarkan prosedur yang jelas berhubung penglibatan sukarelawan NGO dan persatuan dengan kerja-kerja semasa dan selepas banjir bagi mempermudah urusan termasuk dari segi bantuan perubatan dan kesihatan.

Dr Azizi yang juga Pensyarah dan Pakar Farmakologi Klinikal di Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) mencadangkan kerajaan mewujudkan ‘Flood Severity Index’ iaitu penjelasan tahap keterukan banjir besar, prosedur bantuan semasa dan selepas banjir besar serta keperluan asas yang diperlukan mangsa di pusat pemindahan banjir.

“Pelan kontingensi untuk menghadapi banjir besar juga perlu ada dan diselaraskan dengan ‘Flood Severity Index’ yang bertujuan untuk mengurus mangsa dan aset sewaktu banjir besar,” katanya.

Leave a Reply