Sejauh Mana Pengundi Muda Penentu PRU-13?

Pengundi muda merangkumi 38.8 peratus atau 4.5 juta daripada lebih 12 juta pengundi di negara ini, dan persoalan sekarang ialah sejauh mana mereka ini mampu menjadi penentu keputusan pilihan raya umum ke-13 nanti.

Pemerhati politik Prof Datuk Dr Zainal Kling berpendapat kenyataan bahawa pengundi muda adalah penentu agak “samar” berdasarkan pelbagai faktor antaranya kesukaran menentukan sokongan pengundi itu.

“Kenyataan itu barangkali betul dan barangkali tidak. Kebanyakan pengundi muda ini ‘atas pagar’, sukar hendak pastikan mereka sokong satu parti sahaja untuk tentukan parti itu menang.

“Kita juga lihat 3.7 juta rakyat di negara ini gagal mendaftar sebagai pengundi dan sebahagian besar daripada mereka golongan muda. Bila tidak daftar bagaimana hendak jadi penentu,” katanya ketika dihubungi Bernama Rabu.

Zainal, yang juga Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya Universiti Pendidikan Sultan Idris, berkata generasi muda perlu diberi pendedahan yang luas kepada politik agar mereka berminat untuk mengundi.

Beliau berkata pendekatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menggunakan media baru bagi menarik sokongan generasi muda, wajar dicontohi semua parti politik dalam meraih sokongan golongan ini.

Seorang lagi pemerhati politik Prof Madya Datuk Zainal Abidin Borhan berpendapat pengundi muda memainkan peranan yang penting pada PRU-13 nanti, namun mereka bukanlah faktor penentu keputusannya.

“Undi mereka antara undi menentukan siapa memerintah, namun sukar mengatakan mereka penentu melainkan ada tinjauan demografi tepat dan kita tahu siapa yang pengundi muda ini pangkah.

“Malah sukar kita hendak tahu golongan mana faktor penentu kerana tidak semestinya semua golongan lebih dewasa akan memangkah parti sokongan mereka pada PRU-13, pengundi dewasa ada juga ‘atas pagar’ seperti pengundi muda,” katanya.

Zainal Abidin, yang juga Pengarah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, berkata media baru dan faktor “anak tempatan” turut memainkan peranan penting pada PRU-13 nanti.

“Media baru sama penting dengan media lama, cuma media baru ini lebih digemari pengundi muda. Faktor ‘anak tempatan’ ini kita lihat pada Naib Presiden Pas Salahuddin Ayub sukar diterima di Kelantan kerana bukan anak tempatan,” katanya.

Presiden Majlis Belia Malaysia Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata pengundi dewasa terikat dengan sentimen mengenang jasa dan kepartian, berbeza dengan pengundi muda yang dilihat lebih bebas dalam menentukan sokongan mereka.

“Sokongan pengundi dewasa lebih untuk jangka masa lama, pengundi muda sokongan mereka lebih bersifat jangka pendek di mana mereka menilai dasar parti, sikap pemimpin dan isu semasa.

“Paling utama mereka sokong berdasarkan kredibiliti calon, mereka sandarkan harapan kepada calon yang boleh beri inspirasi dan menjamin masa depan. Mereka tidak meletakkan sokongan berdasarkan politik kepartian,” katanya.

Mohamed Maliki berkata generasi muda lebih menyukai media baru kerana media itu memberikan interaksi pelbagai hala kepada mereka.

“Mereka perlu informasi sepanjang masa. Mana-mana calon yang masih lambat menggunakan media baru ini, contohnya tiada akaun Facebook dan blog, akan lihat markahnya kurang pada PRU akan datang,” katanya.

Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Mua’amar Ghadafi Jamal Jamaludin, berkata wujud perbezaan dalam fokus penilaian antara pengundi muda di bandar dan luar bandar.

“Pengundi muda luar bandar fokus mereka lebih kepada isu tempatan seperti bagaimana hendak membantu golongan nelayan dan petani, pengundi bandar pula lebih fokus kepada isu semasa dan pentadbiran sesebuah kerajaan.

“Pengundi bandar fokus kepada isu seperti ekonomi negara, dasar luar dan pelbagai lagi. Mereka juga fokus kepada bagaimana kerajaan tangani sesuatu isu sosial seperti masalah remaja,” katanya.

Pelajar Kejuruteraan daripada Universiti Industri Selangor, Mohd Faizal Ramli, 27, berkata agak sukar menentukan adakah pengundi muda penentu PRU-13 kerana pengundi ini mempunyai sokongan yang berbeza antara satu sama lain.

“Ada kajian (oleh Pemuda Barisan Nasional) kata 62 peratus pengundi muda ini tidak menyokong sesiapa, mereka akan tentukan pendapat mereka ketika mahu mengundi nanti.

“Ini menunjukan pengundi muda ini tidak mempunyai sokongan yang satu, mereka punyai sokongan yang pelbagai,” kata Mohd Faizal yang akan mengundi buat kali kedua di kawasan Parlimen Ayer Hitam dan Dewan Undangan Negeri Yong Peng di Johor.

Pendapat itu dikongsi petugas media Dhamirah Atiqah Mohd Norzin, 25, namun beliau menegaskan pengundi mudalah yang menentukan siapa yang memerintah untuk jangka masa panjang.

“Semua pengundi di negara ini bermula sebagai pengundi muda. Pengundi muda ini lama kelamaan akan menjadi pengundi dewasa dan diganti dengan pengundi muda lain.

“Maka penting bagi parti politik untuk menarik sokongan bermula daripada pengundi muda kerana kita akan bawa sokongan itu sehingga jadi pengundi dewasa,” kata Dhamirah Atiqah yang akan mengundi buat pertama kali bagi kerusi Parlimen Kota Melaka dan kerusi Dewan Undangan Negeri Kesidang di Melaka.

2 Replies to “Sejauh Mana Pengundi Muda Penentu PRU-13?

Leave a Reply