Selepas Topless, Oktoberfest, sentuh anjing… kemudian kempen seks & kondom ke? – Pemuda PAS

I Want To Touch A Dog

Pemuda PAS mempersoalkan kempen apa lagi yang mahu dianjurkan selepas berbagai kempen yang berasaskan fahaman liberal di negara ini.

Pertanyaan tersebut berkaitan dengan kes kempen belai anjing di Petaling Jaya Selangor yang heboh diperkatakan sejak Ahad itu.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Nurul Islam Mohamaed Yusof (gambar dua: berdiri baju putih) dalam satu kenyataan Selasa memberitahu mereka menetang penganjuran kempen-kempen liberal ini kerana menganggapnya sebagai ancaman kepada nilai beragama dan berbudaya di negara ini.

“ini bukanlah kerana paranoid, sebaliknya ia adalah lahir dari rasa tanggungjawab untuk memelihara kesucian agama Islam dan keharmonian hidup dalam lingkungan masyarakat majmuk,” katanya dalam kenyataan bertajuk TOUCH A DOG : Bimbang Esok Lusa Ajak Berzina Pula.

Menurut beliau, tanpa menafikan perihal menyentuh anjing adalah hanya sebahagian daripada masalah bersuci dan seputar persoalan feqah yang terdapat padanya pelbagai perbezaan hukum.

“Namun, soal penganjuran program seumpama itu sendiri mesti diperhalusi dengan lebih teliti kerana ia telah menyuburkan kelunturan nilai beragama dan berbudaya yang diwarisi oleh masyarakat negara ini, khususnya umat Islam.

“Kerisauan kita berasas. Dengan penganjuran ‘Topless Friday’ pada awalnya, diikuti dengan ‘Octoberfest’, kemudian disusuli dengan ‘I Want to Touch a Dog’, kita khuatir esok lusa pula dianjurkan pula kempen ‘Sex & Condom’ dengan rasional ‘safe sex’ bagi mengelakkan HIV/AIDS menular kononnya,”ujar beliau.

Pada Isnin, Timbalan Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abd Hadi menyindir menganjur dengan bertanya mungkinkah program membelai anjing untuk mengatasi masalah rakyat yg stress akibat kenaikan harga minyak?

Menurut beliau, daripada sibuk berkempen sentuh anjing lebih baik buat kempen sapu kepala anak yatim.

“Diriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang membelai kepala anak yatim kerana Allah SWT, maka baginya kebaikan yang banyak daripada setiap rambut yang diusap,” katanya.

Acara ‘I Want To Touch a Dog’ di Central Park, Bandar Utama, pada Ahad yang kononnya bertujuan membantu orang ramai, terutamanya umat Islam, untuk mengatasi persepsi negatif terhadap anjing dan dilaporkan mendapat sambutan.

Orang ramai turut diberi taklimat dan diberi tunjuk ajar cara melakukan samak yang betul sekiranya ada yang was-was atau memegang anjing dalam keadaan basah.

Menurut Muhamad Khalid yang juga anak Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang daripada sibuk berkempen sapu atas belakang anjing lebih buat buat kempen belajar macamana cara nak sapu atas khuf sebagai ganti untuk basuh kaki dalam berwudhu.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mengucapkan tahniah kepada penganjur dan orang ramai yang hadir pada satu acara yang membolehkan pengunjung, termasuk umat Islam, menyentuh anjing hari ini.

Dalam kemas kini status Twitternya, beliau menyindir Exco Pemuda UMNO, Dr Fathul Bari Mat Jahaya yang sebelum ini pernah menyebut bahawa ‘kempen sentuh anjing’ itu sangat janggal.

“Islam juga mengenai belas kasihan. Tahniah (penganjur) Syed Azmi (Alhabshi) dan semua yang datang,” tulis Nurul Izzah, hari ini.

Namun, Fathul Bari membalas status itu dengan mengatakan: “YB Nurul Izzah, umat Islam sokong kempen ‘ihsan’ ke atas haiwan, termasuk anjing. Cuma kempen ‘touch (a) dog’ (sentuh anjing) sangat janggal,” katanya.

Melalui interaksi terkini, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu menyindir Fathul Bari dengan berkongsi paparan skrin gambar surat, dipercayai daripada Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

“Untuk ‘haters’ (mereka yang tidak suka) di luar sana, termasuk Ustaz Fathul Bari, acara termasuk tazkirah ringkas oleh ustaz (Mais),” katanya.

Kemudian Fathul Bari membalas: “YB Nurul Izzah, jangan emosi. Saya hanya sebut ‘sangat janggal’. Jangan bimbang OK. Saya tidak setuju konsep tersebut dan itu adalah hak saya memberikan pendapat.”

Leave a Reply