Seleweng Dana RM1.5b: Tiga Ditahan SPRM Di Sabah

Seorang pemimpin Pemuda Parti Warisan Sabah (Warisan) dan 2 pemimpin Pemuda Umno Sabah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini dalam siasatan ke atas penyelewengan RM1.5 bilion yang dimaksudkan untuk pembangunan luar bandar Sabah.
The Star Online melaporkan mereka yang ditahan ialah Ketua Pemuda Warisan Datuk Azis Jamman, Ketua Pemuda Umno Tenom Jamawi Jaafar dan Ketua Pemuda Umno Tawau Ariffin Kassim.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki hari ini mengesahkan perkara tangkapan itu tetapi enggan mengulas lanjut.
Tangkapan ini menyusuli tahanan reman 5 hari ke atas Naib Presiden Warisan Datuk Peter Anthony dan ahli perniagaan Yu Sin Kong 6 Oktober lalu.
“Kita sedang fokus projek RM1.5 bilion yang melibatkan projek persekutuan dijalankan di Sabah. Kita akan panggil siapa sahaja yang kita rasa boleh bantu siasatan,” kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad pada sidang media di Auditorium Dewan Bahasa & Pustaka di ibu negara.
Sebelum ini dilaporkan beberapa ahli perniagaan dan kontraktor di Sabah yang menerima projek di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, yang ketika itu dipimpin Datuk Seri Shafie Apdal, kini presiden Warisan.
Berita Harian melaporkan sebanyak 350 projek di 9 daerah di Sabah, membabitkan dana awam bernilai RM7.5 bilion, berada dalam radar SPRM.
Projek berkaitan pembangunan prasarana air, elektrik dan jalan raya itu dilaksanakan dalam tempoh 2009 hingga 2015, dilaksanakan di Kota Kinabalu, Kudat, Kota Belud, Ranau, Beaufort, Keningau, Lahad Datu, Tawau dan Sandakan.
Mohd Azis Jamman ialah bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Semporna, bahagian yang diketuai Shafie sebelum masuk Parti Warisan.

Leave a Reply