SKMM Keluarkan Spektrum Dalam Jalur 2600 MHz Sebagai Persediaan Untuk Teknologi Mudah Alih LTE (4G) - pakdin.my

4g-lte-malaysiaSuruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengumumkan peruntukan jalur spektrum 2600 MHz yang akan membuka jalan kepada rakyat Malaysia untuk menikmati kelajuan jalur lebar sehingga lebih 100 Mbps.

Teknologi ini memberi perkhidmatan terbaharu kepada pengguna seperti aliran video berdefinisi tinggi, menambah nilai pengalaman pengguna dalam kendalian aplikasi masa sebenar dan hubungan lebih baik bagi peranti-peranti mudah alih dan elektronik.

Pengerusi SKMM, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi berkata SKMM sentiasa komited mencari keseimbangan dalam memenuhi permintaan para pengguna, pelabur dan lain-lain pemegang kepentingan dalam industri ini.

“Kami percaya bahawa keseimbangan itu terletak pada persaingan pasaran yang sihat dan promosi pembangunan industri yang akan membantu perkembangan yang berterusan bagi penyedia perkhidmatan sedia ada, serta menyediakan peluang kepada pemain industri yang baharu.

“Dengan adanya teknologi baru ini, orang ramai diharap akan melihat penambahbaikan dalam gaya hidup digital mereka. Bagi komuniti perniagaan pula, mereka akan menikmati pengalaman lebih baik ketika dalam perjalanan apabila menggunakan perkhidmatan di awan (cloud), tele-kerja, tele-persidangan dan aplikasi,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini, Rabu.

Sejak teknologi 3G dan WiMAX diperkenalkan di Malaysia, permintaan terhadap perkhidmatan jalur lebar mudah alih yang lebih berkualiti semakin meningkat.

Jalur ini diperuntukan selari dengan inisiatif serupa yang dilaksanakan di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah.

Pasaran terhadap teknologi 4G juga telah tersedia kerana kebanyakan peranti dalam pasaran global kini menyokong penggunaan teknologi ini, sekaligus mampu membawa faedah yang lebih besar dari segi ekonomi terhadap negara.

Capaian terhadap jalur spektrum 2600 MHz ini diberi kepada lapan (8) syarikat iaitu, menurut abjad, Celcom Axiata Bhd, DiGi Telecommunications Sdn Bhd, Maxis Broadband Sdn Bhd, Packet One Networks (M) Sdn Bhd, Puncak Semangat Sdn Bhd, REDtone Marketing Sdn Bhd, U Mobile Sdn Bhd dan YTL Communications Sdn Bhd.

UTAMASKMM Keluarkan Spektrum Dalam Jalur 2600 MHz Sebagai Persediaan Untuk Teknologi Mudah...

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium