#SSYBN : Pertikai dana Geran Selangorku @zinmohamed

Dato’ Seri Ir Mohd Zin

Barisan Nasional (BN) Selangor mempertikaikan sumber kewangan Geran Selangorku berjumlah RM300 juta, kerana Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim masih lagi berdolak-dalik menyatakan sumber sebenar wang itu.

Koordinatornya, Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed berkata, sebelum ini, Kerajaan Negeri mengaku ia adalah hutang yang dikutip, namun dalam kenyataan lain, Abdul Khalid sendiri mengaku bahawa jumlah itu tidak termasuk dalam hutang Talam Corporation.

“Perbelanjaan wang yang kononnya dikatakan akan dibuat secara tender terbuka, tidak berlaku seperti dinyatakan. Berdasarkan maklumat dalaman yang diterima, pengagihan RM300 juta ini adalah untuk tujuan infrastruktur yang dibuat dalam empat fasa,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pemuda MCA Selangor, Ching Eu Boon. Mohd Zin berkata, dana itu dipercayai dana khas Pakatan Rakyat (PR) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), yang didakwa cuba disembunyikan Kerajaan Negeri.

“Jika tidak, kenapa perlunya kuasa mutlak menteri besar untuk menentukan kepada siapa peruntukan ini disalurkan jika kaedah tender terbuka diguna pakai?,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Zin mendakwa PKR Selangor kini berada di ambang perpecahan kronik selepas kerana kepincangan pentadbiran Kerajaan Negeri terbongkar.

“Azmin Ali (Timbalan Presiden PKR) dan Khalid Ibrahim tidak mempunyai hubungan baik. Kesannya, pentadbiran Selangor terumbang-ambing dan rakyat pula terpaksa menanggung akibat,” katanya.

Beliau mendakwa, Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin antara punca pergeseran politik berkenaan, sehinggakan ada desas-desus menyatakan banyak keputusan Faekah banyak dibuat tanpa merujuk Abdul Khalid sendiri.

“Terbaru, Faekah dikatakan menggunakan kepala surat pejabat menteri besar untuk memberi surat sokongan kepada syarikat guaman keluarga beliau. Ini contoh menunjukkan beliau cuba mengucar-ngacirkan pentadbiran negeri,” katanya.

Justeru, Mohd Zin mencabar Abdul Khalid supaya mengambil tindakan terhadap Faekah seperti yang pernah dilakukan terhadap bekas Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Besar Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri, pada 2008.

Leave a Reply