Tamak Jadi ‘Rugi’ Kerana Mahu Cepat Kaya - pakdin.my

×

“Bila nak labur wang anda dalam mana-mana skim pelaburan, berhati-hati dan ambil langkah berjaga-jaga dahulu,” nasihat seorang teman penulis yang juga pengamal media.

Skim cepat kaya sememangnya menjanjikan pulangan yang menggunung tinggi tetapi apa yang dijanjikan adalah ‘begitu indah’ dan selalunya skim sebegini adalah sebenarnya satu penipuan.

Pengamal media itu menjelaskan lagi bahawa skim dan pakej pelaburan yang menjanjikan pulangan kewangan besar boleh didapati dalam pelbagai saluran seperti e-mel dalam Internet, khidmat pesanan ringkas (SMS) atau secara langsung.

“Sebelum melabur dalam skim sebegini, periksa terlebih dahulu dengan golongan profesional pelaburan selain dapatkan nasihat daripada pihak berkuasa bagi menentukan peluang pelaburan itu betul-betul wujud dan sah atau sebaliknya,” tambah beliau.

KEMUNCULAN

Tidak ramai yang tahu bagaimana dan bila skim cepat kaya muncul dalam negara ini.

Kemunculan skim sebegini bermula dengan ‘kutu’ yang popular dalam kalangan suri rumah, jiran dan rakan sepejabat.

Ia satu pelan pelaburan bagi mendapatkan wang secara giliran. Pesertanya akan mendapat sejumlah wang yang besar dengan ‘sekali harung’ bila tiba giliran.

Risikonya bila pengendali kutu ‘lesap’ secara tiba-tiba bersama-sama wang kutipan.

Berdasarkan laporan berita, pada tahun-tahun akhir 1970an dan 1980an, rakyat di Malaysia menerima gambaran yang mereka boleh buat wang dengan cara cepat secara melabur dalam pasaran hadapan komoditi.

Antara komoditi itu ialah kacang soya dan gula merah yang diniagakan dalam pasaran hadapan di bursa-bursa asing.

Ketika itu banyak syarikat pelaburan komoditi muncul umpama cendawan selepas hujan di seluruh negara.

Tetapi untuk menarik perhatian daripada pakcik, makcik dan mangsa lain yang senang termakan dengan kata-kata manis mereka, eksekutif pelaburan dari syarikat-syarikat ini hanya memberi berita gembira tentang keuntungan besar yang boleh didapati daripada pelaburan komoditi.

Sebaliknya mereka ‘gagal’ atau sengaja tidak menceritakan tentang risiko besar yang wujud dalam pelaburan komoditi.

Malangnya ramai kalangan pelabur tempatan yang ‘hangus’ wang pelaburan masing-masing bila pasaran komoditi jatuh menjunam.

Ketika itu barulah laporan dibuat kepada pihak berkuasa dan alangkah terkejutnya pelabur bila mengetahui banyak syarikat pelaburan seumpama cuma hanya ‘topeng’ bagi satu penipuan!.

SEBALIK TABIR

Kemudian skim cepat kaya pula muncul dengan syarikat yang menawarkan tukaran matawang asing atau ‘forex’ di mana pelabur diyakinkan bahawa mereka boleh melabur dalam matawang asing seperti (Swiss) francs, (American) dollars dan (British) pound.

Mangsa diberitahu mereka boleh untung besar bila berniaga wang asing tetapi tidak diberitahu tentang risiko yang amat besar dalam perniagaan tersebut.

Pasaran yang agak ‘volatil’ (turun naik dengan cepat) dengan sekelip mata mengakibatkan ramai pelabur kehilangan wang pelaburan mereka.

Tetapi akhbar juga melaporkan banyak firma ini yang berniaga di sebalik tabir.

Kononnya firma-firma ini punya rakan niaga di Hong Kong dan Singapura tetapi sebenarnya tidak.

Setelah pihak berkuasa mengambil tindakan seperti menahan mereka yang terlibat selain menyita pejabat syarikat terbabit, firma-firma palsu ini memakai wajah baru pula dengan kononnya berniaga dalam pasaran Indeks Hang Seng di Hong Kong.

Pada masa yang sama wujud syarikat-syarikat tempatan yang menerima deposit tunai dan menawarkan dividen tetap setiap bulan. Ada antaranya menawarkan dividen tetap sebanyak 10 peratus setiap bulan sedangkan ini menyalahi undang-undang.

Kini muncul pula pelaburan emas di mana ramai juga yang terpikat dengan dividen bulanan yang agak tinggi.

AMALKAN SIKAP WAS-WAS

“Walaupun tawaran pelaburan datang daripada orang yang dikenali seperti kawan baik atau keluarga, ambil sikap berjaga-jaga tentang apa sebenarnya yang ‘wujud’ di belakang tawaran yang indah itu.

“Tiada pelaburan yang mudah mendatang wang dengan senang dan banyak,” jelas pensyarah Abdul Aziz (bukan nama sebenar).

Abdul Aziz adalah antara mangsa dalam perniagaan pelaburan forex.

“Syarikat pelaburan ini hanya menceritakan yang manis-manis sahaja dan tidak mahu cerita tentang risiko besar yang juga wujud. Tujuan mereka adalah hanya mendapatkan wang klien dan akan cuba beberapa helah agar klien tidak menarik keluar pelaburan.

“Bila klien nak keluarkan pelaburan mereka, ada sahaja helah dan alasan yang diberikan. Mereka cuba yakinkan pelanggan supaya tidak mengeluarkan pelaburan asal mereka,” cerita Abdul Aziz tentang pengalaman buruk beliau dalam perniagaan ini.

“Tetapi klien seperti saya mudah alpa, dah terantuk baru tengadah,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai agar mencurigai tawaran pelaburan sedemikian yang menjanjikan pulangan yang besar dan mudah.

“Tiada jalan mudah, tiada jalan singkat untuk dapatkan kekayaan,” katanya lagi.

WANG MUDAH, CEPAT

Aktivis konsumer Gurmukh Singh menjelaskan bahawa skim cepat kaya memberi janji yang pelabur akan dapat wang secara cepat dan mudah tanpa memerlukan kerja keras.

Skim ini datang dengan pelbagai rupa, kaedah dan gaya yang menjanjikan keuntungan setinggi gunung tetapi orang yang sebenar akan menjadi kaya-raya ialah mereka yang mengendalikan skim-skim ini.

Pada hakikatnya, usaha, kerja keras serta ilmu pengetahuan adalah faktor-faktor yang sememangnya diperlukan bagi mendapatkan wang.

Orang ramai seharusnya tidak membenarkan ‘siapa-siapa pun’ menyakinkan mereka tentang betapa mudahnya untuk mendapatkan wang.

Menurut Gurmukh, jika rahsia jadi cepat kaya betul-betul mujarab dan berkesan tentu ramai orang boleh jadi kaya.

Malangnya ramai yang jadi teruja dengan gambaran mereka boleh kaya dengan cepat.

Sebenarnya mangsa ini didorong oleh perasaan tamak, kata Gurmukh.

“Jangan mudah ditipu. Ambil sikap berhati-hati. Renungkan dahulu apa yang sebenarnya ditawarkan dan apa yang boleh berlaku di sebalik janji manis dan topeng baik hati penganjur skim ini.

“Tanya dulu (diri anda) apakah niat sebenar pengendali dan penganjur skim ini? Adakah mereka jujur? Apa sebenar yang mereka mahukan?,” tambah beliau.

UTAMATamak Jadi 'Rugi' Kerana Mahu Cepat Kaya

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium