Tiada Keperluan Untuk Selangor Tubuh Suruhanjaya Siasat Dakwaan Penipuan – Pengerusi SPR

pengerusi-spr-jgn-berhimpun-penamaan-calon

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata tiada keperluan bagi Selangor menubuhkan suruhanjaya bagi menyiasat dakwaan berlakunya penipuan dan pelanggaran peraturan pilihan raya di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lepas.

Beliau berkata parti atau ahli politik yang tidak berpuas hati dengan perjalanan PRU13 seharusnya mengikut saluran yang betul dengan memfailkan petisyen di mahkamah.

“Rasa tidak puas hati mengatakan SPR itu dan ini elok dibawa ke mahkamah tetapi berhubung suruhanjaya penyiasatan berkenaan saya tidak pasti apa bendanya, adakah suruhanjaya ini boleh menyiasat SPR yang ditubuhkan di bawah perlembagaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penghargaan dan Penyampaian Sijil kepada petugas PRU13 di Melaka, Khamis malam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam yang mahu menubuhkan suruhanjaya bagi menyiasat dakwaan penipuan PRU13.

Beliau berkata SPR tidak melakukan sebarang penipuan ketika menjalankan tugas sepanjang PRU13 sebaliknya mengikut peraturan yang telah ditetapkan.

Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki SPR namun ia tidak menyebabkan proses pilihan raya lepas terbatal.

Katanya PRU13 berjalan lancar dengan peratusan keluar mengundi merupakan yang tertinggi di dunia iaitu sebanyak 85 peratus.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata parti atau ahli politik juga seharusnya menerima keputusan PRU13 lepas dengan hati terbuka kerana ia adalah keputusan pengundi dan bukannya SPR.

Beliau berkata perhimpunan haram bertujuan melahirkan perasaan tidak puas hati juga tidak seharusnya diadakan kerana ia tidak mengikut saluran yang ditetapkan.

Katanya situasi itu hanya membuang masa, tenaga dan menyebabkan kemusnahan harta benda awam sekiranya berada dalam keadaan tidak terkawal.

Leave a Reply