Tiada kesudahan jika terus layan kritikan Tun M

najib-mahathir-jambatan-bengkok

‘Sampai kiamat pun tidak akan selesai.’

Itu kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika diminta mengulas kritikan berterusan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tegasnya, ia tidak akan ada kesudahan sekiranya Perdana Menteri dan UMNO melayan untuk menjawab segala kritikan yang dilemparkan oleh Dr. Mahathir.

“Saya dah kata dalam hal ini kalau nak jawab setiap kritikan dan tuduhan memang tidak akan ada kesudahan, sampai kiamat memang tidak akan selesai.

“Cuma yang penting sekarang kita bersatu padu, kita lihat ke hadapan,” katanya semasa sidang media selepas menghadiri Hari Terbuka Transformasi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), Ahad.

Hishammuddin berkata demikian bagi mengulas kenyataan Dr. Mahathir hari ini yang menggesa UMNO menyingkirkan Najib sekiranya ingin menyelamatkan parti tersebut daripada kalah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Beliau dalam sidang media yang sama turut menjelaskan bahawa kritikan terbuka daripada Dr. Mahathir itu langsung tidak menjejaskan kepimpinan parti dan negara.

“Nak melayani setiap tuduhan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap pimpinan negara saya sebut hari itu supaya jangan sampai jejaskan kepimpinan, jangan sampai jejaskan parti, jangan sampai jejaskan pentadbiran negara,” katanya lagi.

Leave a Reply