Tidak cari populariti – Keputusan dibuat demi elak negara rugi dalam jangka panjang – PM - pakdin.my

mydin-serap-kos-gst

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan tidak boleh membuat keputusan yang populis tetapi mendatangkan kerugian kepada negara untuk jangka panjang.

Perdana Menteri berkata, kerajaan pimpinannya sebaliknya mesti melakukan perkara yang betul walaupun keputusan itu mungkin tidak disenangi sesetengah pihak.

‘‘Yakinlah bahawa niat saya tidak lain untuk kebaikan masa depan Malaysia. Apabila hasil bertambah nanti, saya akan bertindak secara telus dan beritahu rakyat tentang hasil ini.

‘‘Hasil tambahan ini akan dibelanjakan untuk rakyat. Apabila kita cakap dari belia untuk belia, cukai barang dan perkhidmatan (GST) juga dari rakyat untuk rakyat,’’ katanya ketika berucap dalam majlis penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara 2015 di sini hari ini.

Najib menyampaikan hadiah wang tunai bernilai RM50,000 kepada Gerakan Belia 4B cawangan Merlimau Pasir, Melaka yang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Perdana Belia Negara kategori pertubuhan sempena sambutan Hari Belia Negara 2015.

Dalam majlis yang sama, Perdana Menteri turut melancarkan Dasar Belia Malaysia yang menterjemahkan hala tuju Program Transformasi Belia Negara serta menyokong program pembangunan belia yang dijalankan.

Yang turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan serta Presiden Majlis Belia Malaysia, Mua’amar Ghadafi Jamal Jamaludin.

Najib berkata, terdapat golongan yang tidak suka pelaksanaan GST kerana mereka tidak membayar cukai sebelum ini.

‘‘Ada yang tidak suka GST sebab selama ini dia tidak bayar cukai. Dengan cara seperti ini (melaksanakan GST), adil untuk semua,’’ katanya.

Sementara itu, Najib berkata, golongan belia perlu mengambil inisiatif untuk menambah nilai pada diri sendiri termasuk berusaha ke arah menjadi pekerja berkemahiran tinggi.

‘‘Jangan berpuas hati dengan pencapaian sederhana yang ada tetapi perlu mencabar diri untuk memaksimumkan potensi yang ada.

‘‘Di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) nanti, kita akan buat program lebih besar untuk pendidikan kemahiran dan teknikal,’’ katanya,

Perdana Menteri turut mengingatkan belia supaya tidak menjadi pekerja semata-mata, tetapi perlu mengorak langkah sebagai usahawan yang menawarkan pekerjaan kepada orang lain.

“Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (Magic) telah diwujudkan untuk memberikan latihan keusahawanan,” katanya.

UTAMATidak cari populariti - Keputusan dibuat demi elak negara rugi dalam jangka...

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium