Tony Pua desak Azmin pilih DAP atau PAS

dewan-ulama-pas-lulus-usul-bercerai-dengan-dap

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali didesak memilih sama ada meneruskan kerjasama dengan PAS atau DAP.

Desakan Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua itu susulan tindakan PAS memutuskan hubungan kerjasama dengan DAP dalam Muktamar parti itu minggu lalu.

“PAS mahu Azmin memilih parti mana yang beliau mahu. DAP juga berkongsi pandangan sama, jadi, saya serahkan kepada Azmin untuk tentukan,” katanya di Lobi Parlimen, Selasa.

Terdahulu, Ahli Parlimen PAS Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menyarankan Azmin, yang juga Timbalan Presiden PKR supaya memilih di antara dua parti itu bagi mentadbir Selangor.

Tony bagaimanapun berkata, pihaknya akan berjumpa Azmin bagi membincangkan kedudukan parti itu dalam pentadbiran Selangor.

Konflik di antara PAS dan DAP tegasnya tidak mampu dileraikan selagi PAS tidak menarik kembali usul tergempar memutuskan hubungannya dengan DAP.

“Bagaimana anda mahu kita berdamai, melainkan PAS mengadakan muktamar lain dan menarik balik resolusi memutuskan tahaluf siyasi dengan DAP itu,” tegasnya sambil menambah bahawa konflik tersebut bakal menjejaskan peluang Pakatan Rakyat untuk menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Leave a Reply