TPPA: PENJAJAHAN ALAF BARU, MODEL PEMBANGUNAN MALAYSIA, DOMINASI AMERIKA SYARIKAT DAN HUBUNGAN DENGAN CINA.

MITI-TPPA
Saya menghargai pandangan yang diberikan melalui beberapa saluran mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA). Antara perkara-perkara yang dibangkitkan ialah dominasi Amerika Syarikat, kesan terhadap hubungan ekonomi antara Malaysia dan China serta tanggapan bahawa ia merupakan satu bentuk penjajahan alaf baru.

Saya memahami kebimbangan yang ditimbulkan. Justeru, izinkan saya untuk memberi penjelasan mengenai isu-isu yang dibangkitkan.

TPPA merupakan penjajahan alaf baru

Kita pernah dijajah suatu ketika dahulu namun situasi kini sudah berubah. Kalau dahulu kita tidak ada ilmu dan miskin sumber, kini beberapa syarikat dan golongan profesional Malaysia sudah mampu bersaing serta menembusi pasaran antarabangsa. Syarikat-syarikat tempatan seperti Axiata, Petronas, UEM Group, Sapura Kencana, Sime Darby dan beberapa syarikat lagi telah melabur serta beroperasi di beberapa buah negara seluruh dunia, termasuklah di negara ahli TPP. Sebenarnya, pelaburan Malaysia di luar negara yang berjumlah kira-kira RM505 bilion ketika ini melebihi pelaburan asing di negara kita yang berjumlah RM470 bilion. Syarikat-syarikat Malaysia yang beroperasi di luar negara juga memerlukan perlindungan.

Ramai profesional dan rakyat Malaysia sedang bekerja dalam pelbagai sektor utama di luar negara termasuklah negara TPP seperti Australia, New Zealand, Singapura dan Brunei. Kehadiran syarikat dan profesional Malaysia di luar negara bukan bermakna kita menjajah negara-negara tersebut.

Model pembangunan ekonomi Malaysia

Penyertaan dalam TPPA tidak bermakna kita akan menerima sistem ekonomi kapitalis secara total. Sebaliknya, Malaysia akan terus menjayakan model pembangunannya sendiri yang memberi tumpuan terhadap pertumbuhan ekonomi yang inklusif untuk setiap rakyat. Penyertaan dalam TPPA juga tidak bermakna bahawa insititusi-institusi bumiputera seperti MARA dan TERAJU akan terpinggir.

Dominasi Amerika Syarikat

Malaysia mengambil keputusan untuk menyertai rundingan TPPA atas pertimbangan ekonomi setelah mengambil kira manfaat yang ditawarkan oleh TPPA – saiz pasaran yang lebih luas melibatkan 800 juta penduduk dengan jumlah KDNK keseluruhan bernilai USD28 trilion. Produk Malaysia juga akan mendapat akses pasaran yang lebih baik di empat negara yang mana kita belum menandatangi Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) iaitu Amerika Syarikat, Kanada, Mexico dan Peru.

Kita telah menjalinkan hubungan perdagangan dengan lebih 200 buah negara di seluruh dunia, dan Amerika Syarikat merupakan rakan perdangangan keempat terbesar buat Malaysia. Meskipun keutamaan negara pada ketika ini adalah ASEAN, namun Malaysia harus berusaha mempelbagaikan lagi hubungan perdagangan dengan negara-negara lain kerana pergantungan kepada satu atau dua negara sahaja akan membawa risiko yang tinggi.

Pada pendapat Kerajaan, secara keseluruhannya TPPA akan mewujudkan situasi ‘win-win’ buat setiap negara yang terlibat. Bagi Malaysia, kita berpeluang untuk memasarkan produk seperti tekstil, elektronik, produk sawit dan beberapa barangan lain pada harga yang lebih kompetitif ke pasaran TPP termasuklah Amerika Syarikat, yang merupakan pasaran pengguna terbesar di dunia.

Hubungan ekonomi antara Malaysia dan China

Penyertaan Malaysia dalam TPPA tidak akan sama sekali menjejaskan hubungan ekonomi antara Malaysia dan China. Dasar Malaysia adalah untuk mewujudkan hubungan yang baik dengan semua negara.

Sebagai sebuah negara ASEAN, Malaysia mendapat manfaat daripada Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) di antara ASEAN dan China yang kini sudah berjalan selama hampir 10 tahun. Kira-kira 90% dari produk-produk yang diperdagangkan antara ASEAN dan China sudah dihapuskan duti. FTA di antara ASEAN dan China ini juga sedang dalam proses untuk dinaiktaraf. Selain itu, Malaysia bersama negara-negara ASEAN lain juga sedang merundingkan Perjanjian Komprehensif Ekonomi Serantau atau Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP) yang melibatkan 16 negara termasuk China. Di samping itu, Malaysia merupakan penyokong kuat inisiatif ekonomi ‘One Belt, One Road’ yang diterajui oleh China.

Kesimpulan

Keahlian TPPA adalah terbuka kepada 9 buah negara APEC lain yang belum menyertai perjanjian ini. Malah negara-negara seperti Korea Selatan dan Indonesia telah menunjukkan minat untuk menyertai TPPA setelah mengambil kira faedah yang mungkin diperolehi.

Yang membimbangkan Kerajaan adalah sekiranya Malaysia tidak menyertai TPPA, kita mungkin ketinggalan berbanding negara serantau seperti Vietnam dan Singapura dari aspek pencapaian ekonomi. Penyertaan dalam TPPA akan menjadikan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelaburan dan perdagangan yang lebih menarik. Selain itu, syarikat-syarikat Malaysia akan mempunyai peluang yang lebih besar untuk menerokai pasaran TPP.

Pihak MITI amat menghargai semua pandangan yang telah diberikan oleh pelbagai lapisan masyarakat dan bilik gerakan kami akan terus berusaha untuk memberi penjelasan mengenai isu-isu yang dibangkitkan.

Dato’ Sri Mustapa Mohamed
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri
13 November 2015

6 Replies to “TPPA: PENJAJAHAN ALAF BARU, MODEL PEMBANGUNAN MALAYSIA, DOMINASI AMERIKA SYARIKAT DAN HUBUNGAN DENGAN CINA.

Leave a Reply