Tragedi Somalia: Bukan Masa Salahkan Mana-Mana Pihak – Najib (video update)

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sekarang bukan masanya untuk saling menuding jari dan menyalahkan mana-mana pihak berhubung kematian jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd Nor akibat terkena tembakan curi di Mogadishu, Somalia.

Perdana Menteri berkata apa yang penting sekarang ialah untuk mengambil iktibar dan cuba memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang dalam misi kemanusiaan yang disertai Malaysia pada masa depan.

“Ini merupakan sebahagian (daripada bidang kewartawanan). Kamu boleh mengambil langkah keselamatan tapi tiada jaminan sepenuhnya (mengenai keselamatan) sebaik anda berada di kawasan konflik seperti Libya, Mesir dan Gaza di mana banyak nyawa wartawan telah hilang,” katanya.

Najib bercakap kepada media tempatan dan antarabangsa termasuk BBC dan CNN selepas menyertai keluarga Noramfaizul di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang bagi menunggu ketibaan jenazah Allahyarham dari Mogadishu hari ini.

Noramfaizul, 39, terkorban akibat terkena tembakan curi semasa kenderaan yang dinaikinya bersama petugas media Malaysia untuk membuat liputan misi bantuan kemanusiaan oleh Kelab Putera 1Malaysia ditembak ketika mereka dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan.

Najib berkata: “Terdapat had bagi apa yang anda sediakan bagi sebarang kemungkinan. Jadi, jangan saling tuduh menuduh. Perkara paling penting bagi kita adalah untuk mengambil iktibar daripada apa yang telah berlaku.

“Insya-Allah, kita akan cuba sebaik mungkin pada masa depan bagi mencegah perkara seperti itu daripada berulang lagi. Tak ada siapa yang boleh memberi sebarang jaminan. Tapi, jika kamu tidak bersedia untuk menanggung risiko, jadi jangan pergi.”

Sejumlah 23 wartawan telah terbunuh semasa bertugas di Somalia yang terus bergolak, sejak 2007.

Baki 54 anggota misi kemanusiaan juga tiba di Subang bersama-sama dengan pesawat yang membawa jenazah Noramzaiful.

Najib berkata ketika menyertai misi kemanusiaan di luar negara, soal keselamatan anggota kumpulan misi bergantung kepada keupayaan anggota keselamatan tempatan.

“Kita tidak boleh mendesak yang di luar daripada apa yang mereka boleh dan sanggup bekalkan kepada kita. Tetapi kita akan cuba pastikan tahap keselamatan adalah ditahap yang terbaik,” katanya.

Bagaimanapun, Najib berkata beliau berpuas hati dengan kawalan keselamatan untuk pasukan misi berkenaan kerana apa yang dituntut oleh pasukan Malaysia telah ditunaikan.

“Ini adalah satu kejadian luar dugaan sama sekali dan boleh disifatkan Allahyarham bukanlah yang merupakan kumpulan yang disasar pihak tertentu. Tetapi dia telah terkena akibat sesuatu yang dilakukan tanpa dijangka sama sekali oleh mana-mana pihak,” katanya.

Bagaimanapun, Perdana Menteri menolak mengulas lanjut mengenai kejadian itu sehingga mendapat laporan penuh seperti dijanjikan kerajaan Somalia, yang menurut beliau akan diterima dalam masa terdekat.

“Jadi saya hendak tunggu laporan tersebut sebelum saya membuat apa-apa ulasan kerana kejadian ini perlu disiasat dengan rapi sebelum kita boleh membuat apa jua kesimpulan,” kata Najib.

Ditanya sama ada misi kemanusiaan ke luar negara membabitkan Malaysia akan diteruskan, beliau berkata kejadian itu tidak harus mematahkan semangat untuk terus membantu mereka yang tidak bernasib baik.

Menurutnya, ini kerana Malaysia sudah tersohor dengan sifat pemurah dalam membantu negara lain mengikut kemampuannya.

“Cuma kita perlu membuat segala persiapan dan langkah pencegahan (insiden tidak diingini) sebaik-baiknya,” katanya.

Najib turut mengucapkan tahniah kepada Kelab Putera 1Malaysia kerana menunjukkan semangat begitu tinggi dan sanggup menghadapi risiko meskipun menyabung nyawa, tetapi pada masa sama telah memberi sumbangan besar kepada negara.

Bukan Masanya Cari Salah Mana-Mana Pihak
Perdana Menteri yang menyifatkan Allahyarham Noramfaizul sebagai wira Malaysia sebenar yang mewakili peranan negara untuk membantu di mana saja bantuan diperlukan dalam pada itu berkata, sekarang bukan masanya saling menuding jari dan mencari salah mana-mana pihak berhubung kematian jurkamera Bernama TV itu.

DATUK SERI MOHD NAJIB TUN RAZAK / PERDANA MENTERI
Adalah lebih baik kita jangan tuding-menuding jari. Apa yang lebih penting sekarang ialah kita mendapatkan gambaran apa yang berlaku supaya kita dapat cuba di tahap terbaik di masa hadapan untuk mengelak kejadian seumpama berulang. Seperti yang saya katakan tadi, tiada siapa boleh memberi sebarang jaminan.

Tambahnya apa yang penting, ambil iktibar dan pastikan kejadian seumpama tidak berulang.

DATUK SERI MOHD NAJIB TUN RAZAK / PERDANA MENTERI
This is a totally unexpected incident dan mereka pun hampir 200 meter sahaja daripada pengkalan perkara ini berlaku. Jadi ambil iktibar daripada kejadian ini.

Leave a Reply