ULASAN PAKATAN HARAPAN TERUS-MENERUS MENYERANG PROJEK LALUAN KERETA API PANTAI TIMUR(ECRL)

ULASAN Pakatan Harapan terus-menerus menyerang projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) sepanjang 688km yang bakal mengubah koridor pantai timur Malaysia.

Mereka terus-menerus menggunapakai apa-apa alasan yang mereka fikirkan perlu untuk menimbulkan keraguan tentang projek ini, tidak kiralah sama ada alasan tersebut adalah benar mahupun sebaliknya.

Pada mulanya, pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan cuba untuk menimbulkan keraguan dengan melemparkan tuduhan bahawa syarikat khusus yang dipertanggungjawabkan ke atas pembangunan projek ini iaitu Malaysia Rail Link Sdn Bhd adalah sebuah syarikat RM2 yang baru ditubuhkan. Namun, saya telah pun menjelaskan bahawa syarikat tersebut adalah syarikat 100 peratus milik kerajaan.

Penubuhan syarikat-syarikat khusus untuk mengendalikan projek-projek adalah amalan biasa dan diterima. Syarikat-syarikat RM2 baru yang lain turut ditubuhkan untuk mengendalikan projek-projek seperti Darul Ehsan Investment Group (DEIG) milik kerajaan negeri Selangor yang memegang asset-aset negeri yang bernilai RM30 bilion, sementara kerajaan negeri Pulau Pinang pula turut menganugerahkan projek-projek Terowong Pulau Pinang dan tiga projek jalanraya berkaitan berjumlah RM6.34 bilion kepada syarikat-syarikat RM2 yang baru ditubuhkan.

Semalam, tiga orang Ahli Parlimen Pakatan iaitu Rafizi Ramli, Tony Pua dan Dr Hatta Ramli mengeluarkan kenyataan bersama untuk membidas kenyataan saya sebelum ini yang memberikan perbandingan ECRL dengan projek-projek kereta api lain di seluruh dunia yang jauh lebih tinggi kosnya setiap kilometer. Mereka berkata saya tidak boleh membandingkan projek-projek tersebut dengan projek ECRL dan mereka memanggil saya seorang yang “jahil.”

Ketiga-ketiga ahli Parlimen tersebut kemudiannya mencerca saya dengan berkata bahawa saya seorang yang jahil kerana membandingkan projek-projek yang kosnya lebih tinggi sehingga ada yang 10 kali ganda berbanding kos ECRL. Mereka terus membidas saya walaupun dalam kenyataan saya sebelum ini dengan jelas menyebut bahawa semua projek kereta api di seluruh dunia adalah unik dan tidak boleh dibandingkan secara langsung.

Ketiga-tiga mereka kemudiannya berkata bahawa saya tidak sepatutnya membandingkan kos projek-projek kereta api luar negara dengan kos ECRL yang menurut mereka bernilai RM91.7 juta setiap kilometer. Sebaliknya, menurut mereka, saya sepatutnya membandingkan kos ECRL dengan kos projek-projek landasan berkembar Ipoh-Padang Besar dan Gemas-Johor Bahru sepanjang 179km yang masing-masing bernilai RM44 juta dan RM39.8 juta setiap kilometer.

Ini membuatkan saya menyoal keterdesakan Ahli-Ahli Parlimen yang kononnya kompeten sehingga mahu membandingkan kos projek landasan berkembar dengan projek kereta api baru (greenfield).

Projek-projek landasan berkembar Ipoh-Padang Besar dan Gemas-Johor Bahru melibatkan kerja-kerja elektrifikasi dan pemasangan landasan selari kepada landasan tunggal sedia ada sepanjang muka bumi yang kurang mencabar dan tidak memerlukan kerja-kerja melibatkan pembinaan terowong dan jambatan.

ECRL pula adalah sebuah projek kereta api baru yang akan menembusi Banjaran Titiwangsa yang paling mencabar dan memerlukan sekurang-kurangnya pelbagai jambatan sepanjang 110km, pelbagai terowong sepanjang 50km, stesen-stesen baru, depot-depot, sistem-sistem isyarat dan infrastuktur-infrastruktur sokongan yang lain.

ECRL juga akan turut melibatkan laluan baru sepanjang 88km yang menghubungkan Gombak yang berkepadatan penduduk yang tinggi dengan Port Klang. Ini melibatkan penambahan kos yang tinggi.

Seperti yang saya katakan sebelum ini, semua projek infrastruktur tidak boleh dibandingkan secara langsung. Sekiranya kita mengambil pendekatan ini, maka projek-projek infrastruktur pengangkutan yang dirancang oleh kerajaan-kerajaan Pakatan Harapan juga boleh dipersoalkan.

Sebagai contoh, dalam jawapan kerajaan negeri Pulau Pinang yang diketuai DAP Jun lalu mengenai jalan berpasangan projek Terowong Pulau Pinang sepanjang 20.3km mengesahkan bahawa kos laporan kebolehlaksanaan dan rekacipta sahaja mencecah RM10.3 juta setiap kilometer dan RM13.2 juta setiap kilometer untuk terowong sepanjang 7.2km. Kos untuk kesemua laporan-laporan ini mencecah RM305 juta dan kerajaan Pulau Pinang menegaskan bahawa jumlah tersebut adalah “munasabah dan berada dalam had.”

Sementara itu, kos pembinaan yang dinyatakan untuk 3 jalan berpasangan sepanjang 20.3km akan menelan RM91 juta setiap km manakala untuk bahagian terowong sepanjang 7.3km pula akan menelan RM513 juta setiap kilometer. Projek-projek ini tidak melibatkan elektrifikasi, pembinaan stesen-stesen kereta api, kos pembelian kereta api dan gerabak, depot-depot atau sistem-sistem isyarat yang diperlukan untuk sebuah sistem kereta api. Dan kesemua kos projek Terowong Pulau Pinang yang saya sebutkan di atas belum lagi mengambil kira kos pengambilalihan tanah dan konsesi tol selama 30 tahun.

Selain daripada itu, projek LRT penumpang yang menghubungkan Komtar dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang sebagai sebahagian daripada pelan pengangkutan kerajaan Pulau Pinang yang berjumlah RM46 bilion dilaporkan membawa kos berjumlah RM4.5 bilion, ataupun RM257.14 juta setiap kilometer.

Semua projek-projek infrastruktur transpirasi adalah unik dan tidak boleh dibandingkan secara langsung. Kita tidak perlu mengambil pendekatan seperti ini.

Seperti yang saya nyatakan dalam kenyataan saya sebelum ini, projek ECRL akan menjana pertumbuhan KDNK wilayah pantai timur pada kadar tambahan 1.5% dan akan membantu mengurangkan jurang antara pantai barat dan pantai timur Malaysia.

Serangan-serangan berterusan Pakatan Harapan ke atas ECRL berdasarkan alasan-alasan remeh dan perbandingan yang tidak masuk akal sebenarnya mempunyai agenda tersembunyi untuk menggagalkan usaha Kerajaan untuk mengimbangi pembangunan Malaysia dengan wilayah-wilayah pantai timur yang ketinggalan agar dapat memanfaatkan lebih 4 juta rakyat yang tinggal di kawasan-kawasan sub-bandar dan luar Bandar

DATO’ ABDUL RAHMAN DAHLAN
Menteri di Jabatan Perdana Menteri

20161113-ecrl-banding-terowong-pulau-pinang

45 Replies to “ULASAN PAKATAN HARAPAN TERUS-MENERUS MENYERANG PROJEK LALUAN KERETA API PANTAI TIMUR(ECRL)

Leave a Reply