Unjuran KDNK Malaysia: Arah Aliran Terus Meningkat. 

1. Bank Dunia mengeluarkan laporan Prospek Ekonomi Global yang diterbitkan setiap dua kali setahun semalam, 4 Jun 2017. Di dalam laporan tersebut, unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun 2017, 2018 dan 2019 telah disemak semula kepada unjuran yang lebih tinggi iaitu 0.6%, 0.4% dan 0.5% masing-masing.

2. Semakan semula unjuran KDNK yang lebih tinggi bagi tahun 2017 ini berpunca daripada pertumbuhan ekonomi yang kukuh pada suku pertama 2017 yang dicatatkan pada 5.6% yang diumumkan bulan lepas. Selari dengan perkembangan tersebut, Bank Dunia meramalkan bahawa ekonomi Malaysia akan mencatat pertumbuhan 4.9% berbanding 4.3% yang diramalkan di dalam laporan yang sama pada Januari 2017.

3. Ini menunjukkan bahawa Bank Dunia yakin dengan kekuatan ekonomi Malaysia. Pada masa yang sama, firma-firma penyelidikan seperti Citi Research dan UOB Bank juga berkongsi sentimen yang sama dengan meningkatkan unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia kepada 5%.

4. Perdagangan global yang semakin pulih mendorong pertumbuhan ekonomi Malaysia – disokong oleh permintaan import yang semakin meningkat daripada negara-negara maju dan peningkatan aliran dagangan dengan China. Malaysia mencatatkan pertumbuhan eksport 24.1% bagi suku pertama 2017; eksport ke Amerika Syarikat, Jepun dan Kesatuan Eropah meningkat 12%, 18% dan 22% masing-masing, manakala jumlah dagangan dengan China berkembang 34%.

5. Sehubungan dengan itu, Bank Dunia menjangka ekonomi Malaysia akan kekal kukuh dan berdaya mampan. Pelarasan dasal fiskal yang dilaksanakan sebagai tindak balas kepada kejatuhan harga komoditi tenaga minyak dan gas telah mengurangkan kesan kepada imbangan fiskal negara apabila kerajaan terus berjaya mencapai sasaran defisit fiskal setiap tahun.

6. Walaubagaimanapun, pemulihan harga komoditi telah melonjakkan sentimen perniagaan dan pelaburan. Peningkatan di dalam aktiviti pembuatan dan perdagangan juga telah merancakkan pertumbuhan eksport Malaysia seperti dilaporkan baru-baru ini.

7. Semakan semula unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia oleh Bank Dunia ini membuktikan bahawa Malaysia adalah di landasan yang betul untuk mencapai taraf negara maju menjelang 2020. Dasar monetari Bank Negara yang akomodatif akan terus menyokong pertumbuhan ekonomi negara di samping konsolidasi dasar fiskal yang akan mengurangkan defisit fiskal dan membantu menampan nisbah hutang kerajaan persekutuan kepada KDNK.

8. Walaupun berdepan dengan ketidaktentuan luaran dan cabaran ekonomi global sejak beberapa tahun yang lepas, semakan semula unjuran kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia mengesahkan bahawa Malaysia mampu mencapai sasaran yang ditetapkan sekiranya kita terus mencatat pertumbuhan ekonomi yang kukuh.

9. Dalam masa yang sama, saya menggesa pihak swasta untuk terus bekerjasama dengan kerajaan untuk membawa Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi dari segi pertumbuhan ekonomi dan pembangunan. Sokongan daripada rakyat Malaysia juga memainkan peranan yang penting untuk memastikan kerajaan mampu menguruskan ekonomi negara dengan  baik dengan melaksanakan dasar-dasar yang menyokong pertumbuhan ekonomi dan membantu rakyat.

Kenyataan Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri

Unit Perancang Ekonomi

6 Jun 2017

Leave a Reply