UPSI Dan Misi Menjadi ‘The Leading Education University’

kampus-asal-upsi

UPSI sebagai satu-satunya universiti pendidikan di tanahair menetapkan misi untuk muncul sebagai “The Leading Education University” di Asia Tenggara menjelang 2020.

Menerusi temubual bersama Naib Canselor UPSI Profesor Datuk Dr Zakaria Kasa baru-baru ini, beliau berkata bagi mencapai misi berkenaan, institusi itu perlu berada di barisan hadapan dalam memperjuang isu-isu pendidikan serantau, selain menjadi pusat rujukan kepada pihak luar.

Menurut Zakaria, pelbagai usaha dijalankan UPSI dalam menangani isu pendidikan di rantau ini. Antaranya UPSI mengambil inisiatif untuk melatih bakal guru dari Acheh yang kehilangan ramai golongan pendidiknya akibat tsunami 2004.

UPSI juga sejak tiga tahun lepas mendirikan sekolah di Kemboja dan menghantar mahasiswa mereka untuk mengajar kanak-kanak miskin di situ, di samping gigih bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka untuk membangunkan sebuah pusat Bahasa Melayu di Selatan Thailand.

Dalam negara, UPSI menerajui usaha memberi pengiktirafan rasmi kepada lepasan sekolah agama pondok selain aktif membangunkan lebih ramai guru Bahasa Mandarin.

“Menjadi ‘The Leading University’ juga maksudnya menjadi universiti yang dirujuk. Oleh itu, kita cuba untuk meletakkan diri kita sebagai institusi yang dirujuk di rantau ini.

“Contohnya di Selatan Thailand dan Brunei, kita menjadi rujukan dalam pembelajaran Bahasa Melayu. Di Acheh, kita dirujuk dalam kaedah ‘teaching and learning’ bagi Sains, Matematik, Pendidikan Khas dan Psikologi.

“Kita juga berusaha ke arah menjadi institusi yang akan dirujuk dalam sesuatu pembentukan polisi dan dasar pendidikan,” jelas Zakaria.

WARIS PEJUANG

Sejarah UPSI sebenarnya menjangkau lebih 90 tahun iaitu sejak penubuhannya pada era pemerintahan British (Nov 1922), sebagai Sultan Idris Training College (SITC).

Institusi itu menjadi pusat penyebaran aspirasi nasionalisme menerusi barisan pensyarah seperti Zainal Abidin Ahmad (atau lebih dikenali sebagai Pendeta Za’ba), serta rakan-rakan beliau antaranya Abdul Hadi Hassan, Nurdin Haji Haron, Harun Mohd Amin (Harun Aminurrashid), Buyong Adil dan Abdul Rahman Muhyidin.

Sejurus merdeka SITC ditukar nama kepada Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI). Menjelang 1987, MPSI dinaiktaraf pula kepada Institut Perguruan Sultan Idris, sebelum dimasyhurkan sebagai universiti satu dasarwasa.

Ramai tokoh negara dilahirkan universiti ini termasuk pejuang Bahasa Melayu dan penyair antaranya Ghafar Baba, Awang Had Salleh, A. Wahab Ali, Ali Majod, Kasmani Haji Arif, Hassan Ali, Othman Puteh, Dharmawijaya, Kemala, Suhaimi Haji Mohammad, Shahnon Ahmad, Suratman Markasan, Masuri S.N. dan Yura Halim.

MELANGKAH KE ARENA ANTARABANGSA

Menghadapi era globasasi dan dunia informasi tanpa sempadan, UPSI kini mempersiapkan diri untuk duduk sebaris dengan universiti pendidikan terbaik dunia.

Zakaria berkata, UPSI giat menjalinkan ‘networking’ dengan universiti luar negara menerusi pelbagai organisasi seperti Konsortium Universiti-Universiti Pendidikan Asia-Pasifik (CAPEU), Persidangan Meja Bulat Presiden/Rektor/Naib Canselor Universiti Pendidikan Asia (ARPUE), Asian Teacher Education Network (ASTEN) dan International Student Exchange Programme (ISEP).

“Kita mahu melakukan ini (menjadi ‘The Leading University’) secara berperingkat. Peringkat dalam negeri kita dah terkenal, jadi sekarang kita nak pergi ke peringkat antarabangsa.

“Kita mula dengan ASEAN dahulu, selepas itu baru kita pergi Asia. Dalam menjadi ‘champion’ ini kita memerlukan ‘networking’ dengan universiti terkenal di negara-negara berkenaan,” katanya yang turut menetapkan matlamat untuk UPSI menjadi universiti pendidikan terbaik di Asia menjelang 2020.

Zakaria berkata dalam konteks ASEAN, UPSI telahpun mempunyai hubungan akrab dengan Universitas Pendidikan Indonesia (UPI) di mana seminar bersama diadakan secara dwitahunan, selain menandatangani lebih 30 memorandum persefahaman (MOU) dengan pelbagai institusi pendidikan di rantau ini.

UPSI sedang berusaha mendapatkan pengiktirafan antarabangsa daripada TEAC (Teacher Education Accreditation Council) yang berpusat di Washington D.C., Amerika Syarikat selain menempatkan nama dalam QS World Universities Rankings.

Usaha meraih akreditasi ini akan menggalakkan pihak universiti untuk meningkatkan lagi kualiti pembelajaran dan kemudahan sedia ada.

“Kita berharap dapat menduduki dalam tangga 100 teratas universiti pendidikan dan berusaha memperbaiki kedudukan dalam senarai itu. Jadi bermula tahun ini kita akan menghubungi QS untuk tahu bagaimana kita boleh meraih ranking ini,” kata Zakaria.

MEMBENTUK PENDIDIK BERKALIBER

Dalam keghairahan mengejar nama, UPSI tidak lupa kepada fungsi utamanya iaitu melahirkan barisan pendidik dan graduan yang berkualiti.

Antara langkah yang diambil ialah mendedahkan mahasiswa UPSI kepada dunia luar dengan cara menghantar bakal-bakal guru ini mengajar di luar negara seperti selatan Thailand, Kemboja dan Yaman, selain mengikuti program pertukaran pelajar menerusi ISEP.

“Apabila di luar negara, mereka akan belajar budaya yang berbeza. Umpamanya mereka pergi ke Yaman, mereka mengajar anak Arab, dia tak boleh cakap Melayu seperti di sini, jadi situasi ini akan membantu mereka untuk menguasai bahasa asing, seperti Bahasa Inggeris dan Arab.

“Mereka juga akan membuat perbandingan suasana di sana dengan Malaysia. Contohnya kalau kita hantar mereka ke tempat yang susah, mereka dapat lihat apa yang dibuat oleh kerajaan di sini bagus. Jika kita hantar ke negara-negara yang kaya, contohnya ke Amerika, mereka akan dapat lihat pembangunan di sana sangat bagus, tetapi mungkin kurang daripada segi adat dan budaya.

“Ini menambah pengalaman dan membuka minda mereka, kalau tidak, apabila dia mengajar di sekolah, dia masih dalam konteks kampung dia sahaja,” ulas Zakaria panjang lebar.

TEROKAI BIDANG PELANCONGAN

UPSI turut berminat untuk menerokai bidang pelancongan. Menurut Zakaria sebagai sebuah institusi yang kaya nilai sejarah, UPSI berpotensi menjadi satu daripada daya tarikan pelancongan di daerah baru Perak iaitu daerah Mua’lim yang merangkumi Tanjung Malim dan Slim River.

Di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah misalnya terdapat bangunan-bangunan bersejarah yang telah diwartakan sebagai warisan negara iaitu Muzium Pendidikan Nasional dan Bangunan Suluh Budiman, di samping tarikan lain iaitu Rumah Za’ba, Pejabat Karang-Mengarang, Bangunan IPSI, Surau An-Nur, bekas rumah pengetua dan loceng agung.

Selain itu, beliau berhasrat mengetengahkan bakat kesenian pelajar seperti aktiviti meniup kaca, pembuatan batik dan persembahan pentas sebagai sebahagian daripada tarikan pelancong.

KAMPUS BAHARU DI TELUK INTAN

Selain kampus sedia ada iaitu Kampus Sultan Abdul Jalil Shah di Tanjung Malim dan Kampus Sultan Azlan Shah di Proton City, pembinaan kampus baharu cawangan Teluk Intan, yang dijangka siap tiga hingga empat tahun lagi, dijangka membuka lembaran baharu dalam sejarah UPSI.

Kampus tersebut bakal menempatkan Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional yang menawarkan pelbagai program berkaitan seperti Sains Pertanian dan Ekonomi Rumahtangga.

Pada perhimpunan bulanan UPSI awal Disember lepas, Zakaria menyeru warga UPSI untuk terus mencipta kejayaan bagi mencapai halatuju universiti itu dalam menjadi ‘The Leading University’ di Asia Tenggara.

“Dengan kekuatan kakitangan UPSI yang kini berjumlah 1,987 orang dan jumlah pelajar yang kini menjangkaui lebih 28,000 orang, UPSI tidak boleh memandang ke belakang lagi dan berhenti setakat pencapaian hari ini sahaja, sebaliknya perlu menguatkan langkah dan momentum serta mencipta kejayaan sama ada dalam mahupun luar negara,” katanya.

Leave a Reply

Please Login to comment
  Subscribe  
Notify of