USAH RISAU KADAR INFLASI 2017, KATA PAKAR EKONOMI - pakdin.my

Kebanyakan ekonomi negara membangun, termasuk Malaysia mencatatkan inflasi yang rendah dan tidak berbahaya berbanding negara maju, kata pakar ekonomi.

Kadar inflasi negara pada 2017 yang dijangka antara 2.5 dan 2.8% sebagaimana diukur Indeks Harga Pengguna (IHP), adalah sederhana dan boleh diurus, kata pakar ekonomi.

Ketua Pakar Ekonomi MIDF Investment Dr Kamaruddin Mohd Nor berkata kadar inflasi dijangka tinggi pada 2017, berpurata 3.63% dari 1973 sehingga 2016.

“Ia pernah mencecah tahap tertinggi sebanyak 23.90% pada Mac 1974 dan merekodkan serendah -2.40% dalam Julai 2009,” katanya.

Katanya, kadar inflasi tahun ini kekal sederhana pada 2.2% tahun ini setakat ini berikutan harga bahan api runcit yang lebih rendah berbanding tahun sebelumnya.

Profesor Ekonomi di Sunway University Business School, Dr Yeah Kim Leng berkata kebanyakan ekonomi membangun, termasuk Malaysia, mencatatkan inflasi yang rendah dan tidak berbahaya berbanding dengan negara maju seperti Amerika Syarikat, Jepun dan Eropah.

“Negara maju sedang berusaha untuk membendung tekanan deflasi dan mencapai sasaran inflasi sebanyak 2%,” katanya.

Kedua-dua pakar ekonomi itu berpendapat jangkaan IHP yang lebih tinggi pada tahun depan akan disumbangkan peningkatan harga bahan api runcit.

Kamaruddin mengunjurkan harga purata minyak RON95 akan naik kepada RM1.95 seliter pada 2017 berbanding RM1.75 pada 2016.

“Ini disebabkan jangkaan kenaikan harga minyak mentah kepada AS$50 setong pada tahun depan,” katanya.

Yeah berkata kenaikan harga minyak akan mengakibatkan peningkatan IHP pada tahun depan disebabkan ia menyumbang kira-kira 8% daripada komponen dalam kumpulan indeks tersebut.

“Jika pengguna membayar harga bahan api yang lebih mahal, kos pengangkutan akan menjadi tinggi dan secara keseluruhan kadar inflasi akan meningkat sebanyak 0.2 hingga 0.3 mata peratusan,” katanya.

Menurut Yeah lagi, kemungkinan akan wujud beberapa pelarasan harga merangkumi barangan terkawal seperti minyak masak, gas kegunaan rumah, tol dan tarif elektrik, juga akan menyumbang kepada kadar inflasi yang tinggi pada 2017.

Kamaruddin berkata kesan daripada kemerosotan nilai ringgit turut akan melonjakkan inflasi yang diimport memandangkan barangan import menjadi lebih mahal sehingga menyebabkan tekanan inflasi lebih tinggi.

Beliau berharap kerajaan akan memberi tumpuan kepada gantian import iaitu penggantian barangan luar negara dengan produk domestik, khususnya makanan.

“Ini bermakna, kebergantungan ke atas import makanan akan berkurangan, ini akan memastikan kestabilan harga dalam jangka pendek dan mengurangkan risiko pengaruh luaran yang akan mempengaruhi harga,” katanya.

Yeah turut menyokong pandangan Kamaruddin, dengan menambah, berdasarkan komposisi barangan import dalam kumpulan IHP, nilai ringgit yang lemah, bergantung kepada tahap susut nilai, mampu menambah sehingga setengah mata peratusan kepada inflasi dalam negeri.

Katanya, kerajaan perlu menggalakkan lebih banyak pelaburan untuk meningkatkan pengeluaran dalam sektor pertanian di samping menggalakkan persaingan dan kecekapan dalam rantaian pembekalan termasuk pengedaran lebih cekap.

“Jika perlu kerajaan patut mempertimbangkan subsidi yang lebih fokus berbanding pemberian secara umum,” katanya.

Pakar-pakar ekonomi tersebut percaya Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, yang akan tamat menjelang akhir tahun ini hanya memberikan kesan kecil.

“Peniaga dan pengusaha yang tidak bertanggungjawab mungkin mengambil kesempatan dengan menaikkan harga, tetapi penamatan akta itu tidak akan memberikan kesan-kesan yang teruk disebabkan permintaan yang sederhana, bekalan mencukupi dan persaingan dalam pasaran, terutamanya pasaran barangan pengguna,” kata Yeah.

Penghapusan subsidi minyak masak baru-baru ini juga hanya memberikan kesan yang minimum kerana ia mengambil hanya sebahagian kecil daripada jumlah perbelanjaan isi rumah,” kata Yeah.

“Penghapusan subsidi akan memberi kesan ke atas kadar inflasi berikutan perbezaan harga akan didapat dilihat melalui bacaan IHP pada tahun akan datang,” kata Kamaruddin.

20161229-kadar-inflasi-malaysia-2016

UTAMAEKONOMIUSAH RISAU KADAR INFLASI 2017, KATA PAKAR EKONOMI

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium