[Video] Air percuma di Selangor menggunakan wang pelaburan Kerajaan Persekutuan - pakdin.my


Lihat video:
https://youtu.be/mLly0wTuH3I

Kerajaan negeri Selangor pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) cuba meraih populariti konon ia mampu memberi air percuma sebanyak 20 meter padu, tetapi sebenarnya menggunakan wang pelaburan disalurkan Kerajaan Persekutuan.

Matlamat asal Kerajaan Persekutuan adalah bagi melengkapkan proses penstrukturan semula industri bekalan air di negeri itu, tetapi gagal dilaksanakan.

Wang pelaburan yang disalurkan itu pula sepatutnya dibayar semula secara tahunan kepada Kerajaan Persekutuan.

Ini dilakukan melalui Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), syarikat milik 100 peratus Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (AIS) iaitu syarikat 100 peratus milik kerajaan negeri, namun masih belum dilakukan hingga sekarang.

Berikutan itu, tindakan kerajaan Selangor yang selama ini menguar-uarkan kononnya mereka adalah negeri berkebajikan termasuk satu-satunya negeri yang memberikan bekalan air percuma kepada rakyatnya dianggap sebagai satu pembohongan.

Untuk rekod, dalam tempoh 2010 hingga 2018, Kerajaan Persekutuan sudah melabur lebih RM22.3 bilion untuk menyediakan infrastruktur bekalan air di Selangor.

Ini termasuk RM742 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10) dan RMKe-11 dan projek mitigasi; RM7.6 bilion bagi projek Penyaluran Air Mentah Pahang ke Selangor dan Loji Rawatan Air Langat 2 serta RM14 bilion lagi diperuntukkan untuk skim penstrukturan semula industri bekalan air di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006 (Akta 655).

Menurut sumber, pelaburan cukup besar yang disalurkan Kerajaan Persekutuan itu membolehkan pengguna domestik dan industri di Selangor menikmati 99 peratus akses kepada bekalan air bersih dengan kadar tarif domestik yang rendah iaitu hanya 57 sen bagi 20 meter padu pertama atau kira-kira RM11.

Katanya, dengan kadar tarif domestik yang rendah itu, membolehkan kerajaan Selangor memberikan bekalan air secara percuma sebanyak 20 meter padu yang dijadikan sebagai ‘modal politik’ untuk terus meraih sokongan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) dan PRU-13.

Hakikatnya, ia sebenarnya hasil pelaburan yang dibuat Kerajaan Persekutuan untuk penstrukturan semula industri air di negeri itu.

“Kerajaan Persekutuan beri duit kepada kerajaan Selangor untuk ambil alih (semua aset air) tapi hasilnya, mereka (kerajaan Selangor) rasa mereka hebat, seolah-olah mereka yang selesaikan masalah itu padahal Kerajaan Persekutuan yang bagi RM14 bilion.

“Malah, langkah kerajaan Selangor membelanjakan lebih RM14 juta sebulan bagi Program 20 Meter Padu Air Percuma itu juga dilihat tidak menyumbang kepada kemampanan jangka panjang bekalan air negeri itu kerana ia tidak hanya disasarkan kepada golongan penduduk yang berpendapatan rendah, sebaliknya golongan berkemampuan turut menikmatinya,” katanya.

Perjanjian belum dilengkapkan

Untuk rekod juga, pelaburan disalurkan Kerajaan Persekutuan bernilai lebih RM14 bilion itu bertujuan membantu kerajaan Selangor melalui AIS mengambil alih ekuiti syarikat konsesi air dan pinjaman kerajaan negeri, namun tidak dimanfaatkan kerajaan negeri yang belum melengkapkan perjanjian.

Menurut sumber itu, apabila Kerajaan Persekutuan menyalurkan RM14 bilion untuk pengambilalihan 100 peratus semua aset air berkenaan, kerajaan Selangor akan hanya ada satu syarikat sahaja iaitu AIS.

“Sekarang, ekuiti (aset air berkenaan), kerajaan Selangor sudah dapat (sedangkan), ekuiti itu duit Kerajaan Persekutuan. Sebelum ini, ada banyak syarikat kecil, jadi kita bagi duit untuk ambil alih supaya senang untuk berurusan dengan satu syarikat berbanding banyak syarikat.

“Tugas AIS adalah membayar sewa (kepada Kerajaan Persekutuan) dan bayaran sewa RM700 juta setahun itu sepatutnya dibayar sejak September 2016 tetapi mereka tidak membayarnya hingga sekarang,” katanya.

Bekalan air sering terganggu

Menurut sumber itu, akibat kegagalan kerajaan negeri melengkapkan perjanjian yang sepatutnya, pelbagai inisiatif untuk menaik taraf aset dan infrastruktur secara berterusan seperti loji dan paip serta tangki air tidak dapat dilaksanakan, sekali gus menyebabkan bekalan sering terganggu dan terputus hingga menjejaskan kehidupan rakyat.

Beliau berkata, kelewatan penstrukturan semula antaranya mengakibatkan industri bekalan air Selangor tidak dapat dikawal selia secara efektif oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk menambah baik kualiti perkhidmatan.

“Selangor juga tidak mendapat kemudahan kewangan bagi pembangunan infrastruktur aset air daripada PAAB yang lebih kompetitif berbanding pembiayaan komersial,” katanya.

Kata sumber itu, akibat kegagalan kerajaan negeri mengambil alih Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) menyebabkan sewa pajakan berjumlah lebih daripada RM700 juta setahun masih tidak dibayar kepada PAAB.

“Kerajaan negeri Selangor juga dilihat tidak komited dalam menangani isu hutang tertunggak pembelian air terawat kepada SPLASH yang mencecah lebih RM4 bilion sehingga Januari 2018 dan kesannya, SPLASH terpaksa mengurangkan bayaran kepada subkontraktor iaitu Gamuda Water dan Sungai Harmoni.

“Akibatnya, kedua-dua syarikat ini gagal menjelaskan bil elektrik tertunggak kepada TNB berjumlah RM53 juta sehingga September 2017, dan jumlah ini meningkat setiap bulan dan TNB juga dikatakan memulakan tindakan prosiding mahkamah,” katanya.


https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/03/395430/selangor-guna-wang-pelaburan-pusat

UTAMABERITA Air percuma di Selangor menggunakan wang pelaburan Kerajaan Persekutuan

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium