[Video] Lebih 20 Dikhuatiri Tertimbus Dalam Kejadian Tanah Runtuh Di Pulau Pinang


https://youtu.be/76-oY6UDNsI

Bukan hendak salahkan sesiapa… tapi pembangunan melampau dan tidak dirancang dengan teliti akhirnya mengundang padah.

Apa yang membimbangkan berbagai pihak sebelum ini ketika membangkitkan soal ‘hilangnya kehijauan’ di kawasan berbukit sekitar Tanjung Bungah dan Balik Pulau di Pulau Pinang terbukti benar.

Pagi Sabtu, kejadian tanah runtuh berlaku di sebuah tapak pembinaan di Tanjung Bungah dengan sekurang-kurangnya 20 buruh binaan dikhuatiri tertimbus.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.50 pagi tadi, kesemua mereka sedang bekerja di tapak pembinaan berhampiran lereng bukit sebelum ditimpa tanah runtuh dari kecerunan kira-kira 10 meter.

Pegawai penyelamat sedang terlibat dalam kerja-kerja menyelamatkan mereka yang terperangkap dalam runtuhan dan lumpur.

Jurucakap Pusat Gerakan dan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata pihak JBPM menerima panggilan pada 8.57 pagi dan setiba di tempat kejadian, difahamkan terdapat 15 hingga 20 orang mangsa yang tertimbus di dalam tanah runtuh.

“Kami mendapat tahu antara 15 hingga 20 mangsa mungkin tertimbus dalam kecerunan tanah dianggarkan 10 meter dan kita telah memulakan usaha mencari dan menyelamat,” katanya.

Setakat 11 pagi, difahamkan dua orang mangsa berjaya dikeluarkan dan dihantar ke Hospital Pulau Pinang.

Anggota Paramedik Hospital Pakar dan pasukan Pertahanan Awam berada di lokasi untuk membantu mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Anuar Omar mengesahkan kejadian tanah runtuh itu di tapak projek Granito, Jalan Lembah Permai Tanjung Bungah

“Menurut maklumat awal lebih kurang 20 orang terperangkap di dalam tanah,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut seorang pekerja warga Bangladesh di tapak projek itu yang dikenali sebagai Mohamad Bachu, 30, ketika kejadian dia sedang mengalihkan beberapa batang besi sebelum secara tiba-tiba berlaku tanah runtuh di belakang tapak projek berkenaan.

Katanya, dia terselamat kerana hanya berada beberapa meter daripada tanah runtuh namun nasib abangnya yang dikenali sebagai Nur Alam, 35, yang turut bekerja di tapak binaan sama tidak diketahui.

“Saya beredar dari tapak projek untuk mengambil besi dan selang seminit selepas itu tanah tiba-tiba runtuh.

“Ketika kejadian terdapat kira-kira 20 pekerja lain termasuk abang saya dan kesemua mereka tidak sempat menyelamatkan diri,” katanya.

Sebelum ini berbagai pihak mengkritik dasar pembangunan tidak dirancang dengan teliti oleh kerajaan DAP Pulau Pinang yang menyebabkan banyak berlaku banjir kilat di negeri itu.

Bagaimanapun Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata banjir kilat itu berlaku kerana hujan.

8 Replies to “[Video] Lebih 20 Dikhuatiri Tertimbus Dalam Kejadian Tanah Runtuh Di Pulau Pinang

Leave a Reply