[Video] ‘Sivarasa, You have crossed the line!’ – Sultan Selangor


https://youtu.be/jPLyfsmebSI

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa, berucap dalam Masjid An-Nur di Kampung Melayu Subang, pada 24 Mei lalu, sebagai sudah melampaui batas.

You have crossed the line!” demikian titah Sultan Selangor terhadap wakil rakyat PKR itu pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat dan Majlis Perasmian Masjid An Nur Temasya Glenmarie di sini, sebentar tadi.

Yang turut berkenan hadir Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa; Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi negeri, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi; dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Haris Kasim.

Sultan Sharafuddin Idris Shah menyatakan kemurkaan terhadap insiden itu kerana tindakan Sivarasa masih berucap di dalam masjid, walaupun sudah berkali-kali baginda mengingatkan supaya masjid tidak dijadikan tempat berpolitik sama ada yang beragama Islam mahu pun bukan Islam.

“Beta tidak membenarkan ahli politik berceramah atau berucap di dalam masjid kerana beta tidak mahu ia menjadi punca kepada perpecahan umat Islam. Namun teguran beta nampaknya tidak diendahkan dan beta ingin menegaskan…Ahli Parlimen Subang, Sivarasa, ‘You have crossed the line!’

“Jikalau Ahli Parlimen Subang itu hendak berucap lapan jam atau sepuluh jam di luar dari kawasan masjid, beta tidak menghalangnya, itu semua terserah kepada rakyat sama ada mahu mendengar ataupun tidak, tetapi jangan sama sekali berucap di dalam masjid dan di dalam kawasan masjid,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, nazir masjid, imam dan ahli jawatankuasa masjid sepatutnya lebih peka dan mengambil berat terhadap titah baginda serta tidak membenarkan sama sekali masjid dijadikan sebagai tempat untuk berpolitik.

Baginda turut mengingatkan masjid dan surau perlu digunakan sebagai tempat beribadat serta tempat untuk menuntut ilmu agama, selain tempat untuk mengeratkan silaturahim sesama umat Islam supaya tidak berpecah-belah dan berpuak-puak.

“Beta memberi kuasa kepada nazir, imam dan ahli jawatankuasa masjid untuk menjaga rumah Allah dan kemuliaan masjid. Maka gunakanlah kuasa ini dengan sebaik-baiknya.

“Jika ada antara nazir, imam atau ahli jawatankuasa masjid yang hendak aktif berpolitik di masjid, beta titahkan supaya berhenti daripada menjadi nazir, imam atau ahli jawatankuasa masjid dan serahkan tanggungjawab itu kepada orang lain,” titah baginda.

Sultan Selangor juga memberi amaran tidak teragak-agak menitahkan JAIS supaya menamatkan perkhidmatan nazir, imam dan ahli jawatankuasa masjid yang melanggar serta tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Dalam kes masjid An-Nur Kampung Melayu Subang ini, beta mahu supaya JAIS menyiasat dengan terperinci dan sekiranya ada bukti yang ahli jawatankuasa masjid melanggar peraturan yang sedia ada, tindakan selanjutnya hendaklah diambil terhadap mereka selepas Ramadan,” titah baginda.

Selasa lalu, Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan rasa murka dengan tindakan Sivarasa yang memasuki dan memberi ceramah di ruang solat Masjid An-Nur Kampung Melayu Subang. Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Sulit kepada Tuanku, Datuk Munir Bani kepada Pengarah JAIS.

33 Replies to “[Video] ‘Sivarasa, You have crossed the line!’ – Sultan Selangor

Leave a Reply