VIRAL BERKAITAN PENDAFTARAN PEMILIH ADALAH TIDAK BENAR

pilihanraya-umum-malaysia

Berhubung mesej yang diviralkan di media sosial berkaitan tarikh 30 September 2016, Jumaat ini sebagai tarikh tutup pendaftaran yang melayakkan seseorang untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) jika diadakan pada Mac 2017 adalah andaian pihak tertentu semata-mata dan ianya tidak benar.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan Sistem Pendaftaran Pemilih Sepanjang Tahun di mana selepas tarikh 30 September 2016 orang ramai masih boleh terus mendaftar.

Sebagai makluman tarikh 30 September itu merupakan tarikh akhir bagi pendaftaran yang akan dimasukkan dalam Daftar Pemilih Tambahan Suku Ketiga 2016. Selepas tarikh itu bermula 1 Oktober hingga 31 Disember 2016, mana-mana orang yang mendaftar akan dimasukkan dalam Daftar Pemilih Tambahan bagi Suku Keempat 2016.

SPR mewartakan Daftar Pemilih Tambahan berdasarkan Suku Tahun iaitu Suku Tahun Pertama (Jan – Mac), Suku Tahun Kedua (April-Jun), Suku Tahun Ketiga (Julai-September) dan Suku Tahun Keempat (Oktober-Disember).

SPR menyarankan supaya orang ramai yang masih belum mendaftar sebagai pemilih agar mengambil peluang mendaftar dengan segera tanpa menunggu di saat akhir atau disebabkan oleh viral tertentu sahaja.

Mendaftar sebagai pemilih dan mengundi semasa pilihanraya adalah tanggungjawab sebagai seorang warganegara.

Jangkaan bahawa PRU14 akan berlaku pada Mac 2017 merupakan andaian pihak tertentu sahaja. Penentuan pembubaran Parlimen adalah dibawah bidang kuasa YAB Perdana Menteri.

Disamping itu juga SPR ingin menjelaskan bahawa kaedah pendaftaran yang digunapakai sekarang adalah memerlukan seseorang itu hadir sendiri ke kaunter pendaftaran SPR atau mana-mana kaunter pejabat pos berkomputer atau melalui Penolong Pendaftar Pemilih yang dilantik oleh SPR. Mereka perlu membawa bersama kad pengenalan yang asal dan mengisi Borang A.

Viral yang menyatakan bahawa pendaftaran pemilih boleh dilakukan menerusi kaedah pesanan ringkas (sms) atau aplikasi whatsApp dengan menghantar salinan gambar kad pengenalan ke nombor talian tertentu adalah tidak benar. Orang ramai dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan mesej yang diviralkan itu kerana dibimbangi maklumat peribadi mereka akan disalahgunakan oleh pihak tertentu.

SPR juga ingin mengingatkan semua pihak agar tidak menggunakan logo SPR tanpa kebenaran dalam paparan mereka untuk mempromosi usaha mendaftar pemilih oleh pihak mereka kerana ia boleh mengelirukan orang ramai.

Sekian dimaklumkan, terima kasih.

KENYATAAN MEDIA

DATUK SERI MOHD HASHIM BIN ABDULLAH
Pengerusi
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia

Putrajaya

Tarikh: 29 September 2016

15 Replies to “VIRAL BERKAITAN PENDAFTARAN PEMILIH ADALAH TIDAK BENAR

Leave a Reply