1.7 juta kenderaan 
guna tiga lebuh raya #pakdin.my

trafik-sesak-hariraya-2015

Kira-kira 1.7 juta kenderaan dijangka menggunakan lebuh raya untuk pulang ke kampung halaman bermula hari ini bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri Jumaat ini.

Menurut jurucakap Pusat Pengurusan Trafik Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), jumlah kenderaan terbabit melibatkan laluan di tiga lebuh raya iaitu PLUS Expressways Berhad (PLUS), Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dan Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK).

“LLM menganggarkan kira-kira 1.6 juta kenderaan akan berada di sepanjang lebuh raya PLUS manakala LPT dan KLK masing-masing hampir 80,000 dan 120,000 sehingga Jumaat ini.

“Malah, trafik bertali arus keluar dari pusat bandar bermula petang semalam dan situasi itu dijangka kekal sehingga esok,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bilangan kenderaan yang menggunakan PLUS dijangka mengalami pertambahan sepanjang musim perayaan ini berbanding 80,000 yang dilaporkan pada waktu perjalanan biasa.

“Bagi LPT dan KLK pula masing-masing mengalami peningkatan ketara berbanding jumlah trafik yang dilaporkan pada hari biasa iaitu 40,000 dan 80,000,” katanya.

Dalam pada itu, jurucakap agensi tersebut berkata, aliran trafik ke Pantai Timur ketika ini bergerak perlahan dan jumlah kenderaan dijangka meningkat pada sebelah petang.

Selain itu, beliau juga menyarankan semua pengguna me­rancang perjalanan dengan meng­hubungi talian hotline di 1800-88-7752 atau mengikuti laman sosial seperti Twitter dan Facebook LLM untuk mendapatkan perkembangan trafik dan berinteraksi secara dua hala.

Beliau turut menasihati pengguna agar mengamalkan pemanduan yang berhemah sepanjang musim perayaan memandangkan jumlah kenderaan dijangka bertambah.

“Sekiranya, pengguna terperangkap dalam kesesakan, mereka dinasihatkan tidak menggunakan lorong kecemasan dan jika berada di lokasi kemalangan, pengguna juga disarankan untuk tidak memperlahankan kenderaan bagi tujuan melihat kerana ia akan menyebabkan kesesakan yang lebih teruk,” katanya.

Berkaitan