Nahas pada pukul 10.15 pagi itu mengorbankan Lim Ah Weng, 63, semasa dalam perjalanan ke Hospital Tapah.

Kemalangan itu turut mengakibatkan penumpang To­yota Unser iaitu Kong Kui Ing, 49 dan Wong Yong Sieng, 21, cedera di kepala manakala pemandu lori Jimin Karim, 25, cedera di muka.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Som Sak Din Keliaw berkata, kejadian berlaku semasa kenderaan dipandu Ah Weng dalam perjalanan dari arah Bidor ke Tapah.

Katanya, apabila tiba di tempat kejadian, lori tiga tan yang dipandu Jimin yang datang dari arah bertentangan hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh kereta yang dipandu Ah Weng.

“Rempuhan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah namun dia disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Tapah.

“Tiga lagi mangsa yang cedera menerima rawatan di hospital sama dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.