10 laporan PAC dibentang di Dewan Rakyat minggu depan - pakdin.my

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan membentangkan 10 laporan di Dewan Rakyat pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ketiga Belas 2016 termasuk:

1. Isu penyelewengan dan penyeludupan diesel bersubsidi membabitkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani;
2. Pengurusan Lesen Iklan/Papan Tanda di Kuala Lumpur membabitkan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur;
3. Pengurusan Projek Pembangunan Kandungan Penyiaran Digital membabitkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia;
4. Program Subsidi Benih Padi Sah membabitkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani;
5. Projek Pengalihan Operasi Kereta Api Tanah Melayu Berhad Dari Tanjong Pagar ke Woodlands, Singapura (Stesen) dan Kempas baru (Depoh), Johor Bahru membabitkan Kementerian Pengangkutan;
6. Pembinaan dan Pengurusan Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur membabitkan Kementerian Pertahanan;
7. Pengurusan Perolehan Perabot Bagi Cadangan Pembinaan Semula Kem Batalion 5, Pasukan Gerakan Am, Simpang Renggam, Johor membabitkan Kementerian Dalam Negeri;
8. Pengurusan Pengendalian Acara membabitkan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan;
9. Pengurusan Program 1Azam membabitkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Yayasan Kebajikan Negara dan
10. Pengurusan Perkhidmatan 1BestariNet membabitkan Kementerian Pendidikan.

Pengerusi PAC Datuk Hasan Arifin berkata semua laporan PAC berkenaan sudah dimuktamadkan jawatankuasa itu yang bermesyuarat antara Ogos, September dan Oktober tahun ini.

“PAC Parlimen komited untuk terus memastikan wang rakyat dibelanjakan secara berhemah dengan setiap projek kerajaan benar-benar memberikan nilai terbaik kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, PAC juga mahu memastikan setiap projek kerajaan bebas daripada amalan penyalahgunaan kuasa, penyelewengan serta pemborosan demi kepentingan rakyat secara keseluruhan selaras kedudukannya sebagai jawatankuasa di bawah Parlimen yang menjadi cabang penggubal undang-undang tertinggi negara.

Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ketiga Belas 2016 bakal berlangsung bermula 17 Oktober hingga 24 November depan.

UTAMA10 laporan PAC dibentang di Dewan Rakyat minggu depan

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium