Bajet 2012: Bersatu Padu Dan Bekerjasama Atasi Cabaran, Kata Najib - pakdin.my

 

Malaysia mampu mengatasi pelbagai cabaran dan menjadi negara berpendapatan tinggi dan maju jika rakyat terus bersatu padu dan bekerjasama demi mencapai aspirasi negara itu, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata kerajaan bertekad untuk melakukan yang terbaik bagi menjadikan Malaysia sebuah ekonomi berpendapatan tinggi yang berketerangkuman.

“Yakinlah, tiada rakyat yang akan ketinggalan dalam usaha kita mencapai kemajuan, kemakmuran dan kualiti hidup yang lebih baik,” katanya dalam prakata Laporan Ekonomi 2011/2012 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan Jumaat.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata kerajaan telah menyediakan pelbagai inisiatif untuk mempercepatkan transformasi negara ke arah ekonomi maju di samping meningkatkan lagi kesejahteraan rakyat.

“Dalam hal ini, pelaksanaan semua inisiatif yang telah dirancang dan projek Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) adalah amat penting. Walaupun kita telah mencapai kemajuan yang ketara dalam pelbagai inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi (NKEA), namun kita perlu memastikan pelaksanaan yang pantas dan berkesan, lebih-lebih lagi dalam persekitaran luar yang semakin mencabar,” katanya.

Justeru, sektor swasta mesti komited dalam melaksanakan pelaburan mereka serta menerajui pertumbuhan ekonomi negara, kata Najib.

Beliau berkata kerajaan akan terus menangani isu modal insan, liberalisasi, kemampanan kewangan awam serta jurang ketidaksamaan pembangunan dalam usaha meningkatkan daya saing dan daya tahan negara.

“Kita juga akan memberikan lebih tumpuan kepada inovasi dan kreativiti serta penambahbaikan produktiviti bagi mempercepat industri meningkat ke rantaian nilai yang lebih tinggi.

“Agenda transformasi yang dilaksanakan akan mencergas dan mengembalikan peranan sektor swasta sebagai peneraju pertumbuhan ekonomi, manakala sektor awam terus menyediakan persekitaran yang kondusif bagi membolehkan aktiviti sektor swasta berkembang pesat,” katanya.

Bagi memperkukuh peranan kerajaan sebagai pemudah cara, Perdana Menteri berkata pelbagai langkah sedang diambil untuk menjadikan perkhidmatan awam lebih cekap, fleksibel dan mengutamakan pelanggan.

UTAMABERITABajet 2012: Bersatu Padu Dan Bekerjasama Atasi Cabaran, Kata Najib

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium