Keluar dewan ini jawapan Azmin.. Sidang media tergempar oleh Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan 22 pemimpin parti itu.
……….
AYER KEROH – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa gagal memenuhi janji bagi memastikan perjalanan perbahasan pada Kongres Nasional Keadilan kali ke-14 hari ini berjalan tanpa sebarang unsur provokatif dan sindiran.
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, dalam pertemuannya bersama Anwar serta kepimpinan lain pada 4 Disember lalu telah mencapai beberapa persetujuan termasuk memastikan pembahas yang dipilih tidak menyinggung, menyindir dan menyerang mana-mana pihak memandangkan ianya akan menggasir objektif kongres.
Menurutnya, presiden sendiri telah memberi jaminan bahawa kesemua pembahas akan mematuhi perimeter dan garis seperti yang dipersetujui.
Bagaimanapun menurut Azmin, ucapan Anwar yang bermula dengan sorotan klasik tentang kisah Si Kitol dan Raja Mendeliar telah membuka laluan kepada para pembahas yang lain untuk terus melakukan serangan peribadi dan memecahkan perpaduan pimpinan dan anggota PKR.
“Ucapan-ucapan yang berlangsung hari ini dilihat hanya untuk mengangkat impian satu sosok dan menyerang serta melempar tohmahan kepada pimpinan yang lain.
“Hal ini sekaligus memperlihatkan kegagalan presiden untuk memenuhi janjinya bagi memastikan pembahas negeri patuh kepada perimeter ucapan yang telah dipersetujui,” katanya pada sidang media yang diadakan bagi membacakan kenyataan bersama yang telah dipersetujui oleh 22 Ahli Majlis Pimpinan Pusat.
Azmin berkata, antara perkara lain yang dicapai dalam pertemuannya bersama Anwar Rabu lalu iaitu bersetuju untuk mempertahankan tradisi dan konvensyen parti dalam perasmian bersama Kongres Nasional Tahunan Angkatan Muda dan Wanita PKR yang dirasmikan oleh Timbalan Presiden.
Selain itu, ketetapan yang dibuat adalah untuk memastikan perbahasan oleh para pembahas di pentas kongres hanya akan memberi tumpuan kepada isu-isu dasar serta pengukuhan parti.