IBU - pakdin.my

Tidak lama dahulu, saya dihubungi oleh seseorang yang saya kira top gun juga dalam sebuah parti politik. Beliau mahu saya membantunya dalam strategi media sosial. Targetnya mahu menjadi se-glamor DS Najib. Dan baginya, formula untuk menjadi popular sebegitu adalah dengan posting yang berfakta, respon yang cepat serta alunan tulisan yang menarik minat rakyat

Saya senyum apabila dia mengatakan bahawa itu adalah formula kebangkitan DS Najib. Tuan tuan, Najib Razak tidak bangun semula kerana faktor tersebut. Jika benar dia popular kerana pembawaan fakta, maka ketahuilah tulisannya sudah lama begitu sejak dia masih lagi Perdana Menteri. Bahkan, hantaran media sosialnya pada masa tersebut jauh lebih baik daripada hari ini kerana masih mempunyai sepenuh akses kepada maklumat terkini kerajaan.

Tetapi majoriti rakyat tetap membenci.

Malahan, 5 bulan pertama setelah kekalahan pada PRU14, dia masih lagi menjadi faktor yang memualkan rakyat kepada BN. Bantuan beliau di PRK Sungai Kandis dipandang jijik sehinggakan beliau terpaksa ‘berehat’ daripada turun ke Balakong dan Seri Setia pada siri PRK seterusnya.

Lebih parah, sebahagian pemimpin atasan UMNO pada ketika itu menuduh beliau sebagai racun yang menatijahkan kekalahan yang lebih besar kepada parti di Sungai Kandis. Ya, racun. Itu perkataan yang digunakan.

Jadi apa formulanya?

26 September 2018. Ini adalah tarikh sebenar permulaan kebangkitan beliau. Ini adalah tarikh DSN menghantar bondanya Tun Rahah menunaikan umrah sendiri disebabkan beliau masih disekat ke luar negara (lihat gambar)

Tak sampai sebulan, popularitinya meningkat mendadak. Saya masih ingat antara posting awal yang mendapat sambutan sehingga tidak muncul waima satupun komen cacian adalah apabila beliau menulis tentang isu masalah harga sawit pada hujung Oktober. Dan selepas itu semuanya bagaikan menjadi arus sungai deras yang tidak lagi dapat ditahan-tahan

Tulisan beliau menjadi rujukan. Kejayaan kerajaan lama menjadi sebutan. Kehadirannya disambut bak negarawan. Beliau yang asalnya racun kini dianggap antara faktor kemenangan di Cameron Highlands, Semenyih, Rantau dan Tanjung Piai.

Beliau menjadi fenomena.

Semuanya dan semuanya kerana doa seorang ibu tua.

Demi Tuhan yang menitiskan hujan daripada gumpalan awan. Demi Tuhan yang menumbuhkan tanam-tanaman daripada tanah yang gambut dan gersang. Demi Tuhan yang memiliki segenap inci darat dan lautan. Demi Tuhan yang mengaturkan perjalanan bulan dan bintang. Aku bersaksi bahawa tidak ada hijab antara doa seorang ibu solehah yang merintih ikhlas menadah tangan memohon kepada Dzat yang Memiliki Segala Kebesaran dan Kemuliaan

Jika hari ini kita berjaya, kita bahagia dan kita kaya raya, maka ketahuilah bahawa semua itu bukan semata-mata kerana usaha kita. Melainkan kerana berkat sepasang mata tua yang bangun pada tengah malam bersujud mendoakan kesejahteraan anaknya.

Daripada rahimnya kita lahir ke dunia. Dan pada dirinya juga tergantung kunci keredhaan Tuhan kepada kita semua.

Abdul Rahim Hilmi Zakariya

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium