Jual minyak dagu, minyak pengasih guna internet - pakdin.my

Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia (PMPM) meminta pihak bertanggungjawab membanteras kegiatan bomoh dalam talian yang mengambil kesempatan menjual produk mistik dan kurafat seperti minyak dagu dan minyak pelaris di alam maya.

Timbalan Presiden Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia (PMPM) Azlin Othman berkata perkara itu amat membimbangkan kerana ianya melibatkan akidah serta sensitiviti pengguna, oleh itu etika perniagaan dalam talian perlu dipantau secara berkala oleh pihak penguatkuasaan.

“Kami ada menerima laporan daripada orang ramai. Kedua-dua pihak (penjual dan pembeli) cuba mencari jalan pintas menggunakan mod dalam talian untuk menjual dan juga mendapatkan produk-produk ini. Kita tidak boleh biarkan perkara yang melibatkan aqidah ini berlarutan,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Beliau berkata tindakan membanteras dan memberi kesedaran kepada pengguna memerlukan campur tangan segera pelbagai pihak penguatkuasaan antaranya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) serta Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim).

Pemerhatian pemberita terhadap satu platform jualan secara dalam talian tempatan mendapati masih ada pihak menggunakan kemudahan itu untuk mempromosi produk berunsur sihir yang didakwa diperolehi dari negara jiran seperti minyak dagu, minyak pengasih dan minyak pelaris.

Namun terdapat peniaga yang sudah tiada dalam carian di platform berkenaan apabila aktiviti mereka dapat dihidu.

Azlin berkata pengusaha dan pengendali platform dalam talian juga perlu peka dan mencari jalan untuk memantau aktiviti peniaga dalam talian di platform niaga mereka agar tidak menjual produk terlarang atau melanggar etika perniagaan.

“Apa jua alasannya, pengguna perlu mempertingkatkan pengetahuan mengenai hak sebagai pengguna bagi mengelak daripada mudah terpengaruh dengan barangan yang ‘tidak masuk akal’ dan juga mistik, lebih memburukkan apabila menjadi mangsa penipuan pembelian secara dalam talian,” katanya. — Bernama

UTAMABERITAJual minyak dagu, minyak pengasih guna internet

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium