Covid-19: Thailand rekod sifar kematian 2 hari berturut-turut - pakdin.my

  • 1,928 orang discaj dari hospital manakala 790 lagi masih menerima rawatan
  • 36% kes dikaitkan dengan mereka yang kembali dari luar negara, 20% dari golongan yang berkunjung ke pusat hiburan
  • Tidak pasti perintah darurat dilanjutkan atau sebaliknya, bergantung kepada penilaian dan tingkah laku rakyat

Thailand mencatat 32 kes baru Covid-19 hari ini dan kematian sifar 2 hari berturut-turut menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan setakat ini ialah 2,765, manakala angka korban kekal 47 orang.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata, 141 pesakit sembuh dan kembali ke rumah masing-masing menjadikan jumlah keseluruhan mereka yang didiscaj dari hospital setakat ini ialah 1,928 orang manakala 790 lagi masih menerima rawatan.

Beliau berkata, 9 wilayah di Thailand kekal bebas jangkitan Covid-19.

“Sejumlah 33 wilayah tidak mencatat kes baru Covid-19 dalam tempoh 14 hari lepas,” katanya pada taklimat harian Covid-19 di sini hari ini.

Dari Januari hingga Mac, Thaweesilp berkata, kira-kira 36% kes Covid-19 dikaitkan dengan mereka yang kembali dari luar negara, manakala 20% adalah golongan yang berkunjung ke pusat hiburan.

Bagaimanapun dari bulan Mac hingga April, beliau berkata, 36% kes baru dikaitkan dengan pesakit yang merupakan kontak rapat pesakit yang disahkan sebelum ini, kebanyakannya ahli keluarga, manakala 14% lagi adalah mereka yang melakukan perjalanan ke Thailand.

Memandangkan situasi di negara itu semakin pulih, ramai yang menggesa kerajaan menarik balik sekatan kerana dekri perintah darurat akan berakhir pada 30 April.

Sesetengah pusat membeli-belah kini membuat persiapan untuk membuka semula dan kembali beroperasi seperti biasa.

Thaweesilp berkata, Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan o-cha akan mempengerusikan mesyuarat bagi membincangkan dan memutuskan perkara itu.

“Tidak pasti sama ada perintah darurat akan dilanjutkan atau sebaliknya, ia bergantung kepada penilaian dan tingkah laku rakyat,” katanya.

Ketika ini, beliau berkata, negara itu mencatat kira-kira 30 kes baru setiap hari.

“Ia memuaskan bagaimanapun belum cukup baik… kami perlu mengekalkan jumlah kurang dari 10 kes positif baru setiap hari,” katanya.

UTAMABERITACovid-19: Thailand rekod sifar kematian 2 hari berturut-turut

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium