Tidak Pernah label NFC ‘Kucar-kacir’ – Ketua Audit Negara - pakdin.my

Terdapat beberapa kelemahan dalam perlaksanaan projek Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC), kata Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.

Beliau berkata daripada perspektif audit, terdapat beberapa kelemahan dalam perlaksanaan projek tersebut atau sehingga kajian mengenainya dilakukan.

Ambrin bagaimanapun berkata, laporan Ketua Audit tidak pernah melabelkan projek itu sebagai ‘kucar-kacir’.

Katanya, Jabatan Audit Negara melihat bagaimana perkembangan NFC sejak ia ditubuhkan pada 2006.

“Dalam laporan Ketua Audit 2010, tiada perkataan ‘kucar-kacir’,’kelam-kabut’ atau ‘penyelewengan’ digunakan.

“Perkataan tersebut digunakan oleh pihak lain dan jabatan ini tidak perlu bertanggungjawab.

“Jabatan ini berpendapat, sekiranya terdapat sebarang unsur penyelewengan dalam perlaksanaan projek itu, polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat perkara itu,” katanya.

Ambrin berkata, jabatan audit akan menilai sama ada projek NFC telah dirancang sebaik mungkin, perlaksanaannya dilakukan secara berhemah dan menepati objektif penubuhan.

Laporan tersebut tidak melibatkan National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp).

Beliau berkata, laporan itu melibatkan ulasan terhadap maklumat yang diperoleh dari beberapa agensi kerajaan seperti Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Kementerian Kewangan.

Katanya, beberapa pegawai NFC turut menyediakan maklumat apabila jabatan itu melakukan lawatan tapak pada Mac tahun lalu.

“Analisis audit menunjukkan projek NFC tidak memenuhi objektif penubuhannya ekoran beberapa faktor seperti yang diterangkan dalam laporan Audit 2010,” katanya.

Antaranya, sasaran pengeluaran seperti dalam perjanjian yang ditandatangani pada Mac 2010 untuk menghasilkan 38,600 ekor lembu.

Sasaran itu tidak dipenuhi kerana Program Pembangunan Usahawan melibatkan 130 usahawan ladang satelit tidak dilaksanakan.

“Jabatan ini menegaskan bahawa audit terhadap projek NFC dilakukan secara profesional dan bebas tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

“Tindakan mempersoalkan integriti dan kredibiliti jabatan ini amat dikesali,” kata Ambrin.

UTAMABERITATidak Pernah label NFC 'Kucar-kacir' - Ketua Audit Negara

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium