Pasaran modal cecah RM1.61 trilion – hampir atasi Singapura dalam tempoh 16 tahun - pakdin.my

Lonjakan permintaan sarung tangan dan pe­ningkatan harga saham penge­luarnya didorong ketiadaan vaksin serta penularan berterusan pandemik Covid-19 telah meningkatkan pemodalan pasaran saham negara hingga hampir mengatasi Singapura.

Menurut data Bloomberg, nilai pasaran saham Malaysia telah merekodkan peningkatan mendadak 41 peratus sehingga mencecah AS$379 bilion (RM1.61 trilion) sejak menca­tat paras terendah Mac lalu, sekali gus hanya kurang AS$4 bilion (RM17 bilion) berbanding pasaran modal Singapura.

Sekiranya permintaan berte­rusan dalam kaunter sarung ta­ngan didorong kegagalan du­nia mengekang Covid-19, pasaran modal Malaysia boleh mengatasi Singapura buat kali pertama dalam tempoh lebih 16 tahun.

Ketika pasaran Singapura kehilangan AS$113 bilion (RM481.5 bilion) tahun ini ketika bergelut dengan kemerosotan perda­gangan global, permodalan pasaran Malaysia melonjak berikutan peningkatan besar saham sarung tangan.

Kedudukan itu sekali gus mencerminkan pasaran saham negara sebagai antara yang terbaik di rantau ini sejak pandemik Covid-19 dikesan penghujung tahun lalu.

Ketua Penyelidikan Ekuiti Pengguna Tellimer, Nirgunan Tiruchelvam berkata, Malaysia memiliki industri pembuatan bersepadu seperti pengeluar sarung tangan manakala ekonomi Singapura berasaskan kewangan dan hartanah.

“Ini mencerminkan prestasi relatif dua ekonomi itu dan perubahan terbabit mungkin berterusan buat beberapa ketika,” katanya dalam laporan Bloomberg.

Indeks utama Bursa Malaysia, FBM KLCI bagaimana pun menutup tirai minggu ini de­ngan susut 16.81 mata kepada 1,589.61 mata selepas melonjak 19.44 mata kepada 1,606.42 mata ketika ditutup kelmarin.

Kaunter pengeluar sarung tangan getah diketuai Top Glove Corp. Bhd., Hartalega Holdings Bhd. dan Supermax Corp. Bhd. masih kekal mendominasi pasaran modal negara minggu ini.

Selepas ketiga-tiga pemain utama industri sarung tangan getah itu mengalami lonjakan dalam sesi dagangan kelmarin, saham Top Glove, Hartalega dan Supermax mengalami penurunan prestasi dalam sesi ter­akhir minggu ini.

Semalam, saham Top Glove susut 2.6 peratus kepada RM25.44 selepas merekodkan penjualan melebihi RM26 ­kelmarin dengan memegang nilai pasaran kepada RM66.62 bilion.

Saham Top Glove yang juga pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia telah me­lonjak lebih 450 peratus sejak awal tahun kini menjadikan ia antara tiga syarikat terbesar di Bursa Malaysia, sebaris de­ngan Maybank yang mempunyai permodalan pasaran RM88.24 bilion dan Public Bank dengan nilai sebanyak RM69.33 bilion setakat semalam.

Saham Hartalega juga menurun 1.78 peratus sebelum ditutup pada RM17.68 berbanding RM18, Khamis lalu, menjadikan nilai syarikat RM59.57 bilion manakala Supermax ditutup pada harga RM17.14, susut 1.72 peratus berbanding RM17.44 dengan modal pasaran ­sebanyak RM23.23 bilion.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Adam ­Mohamed Rahim berkata, kebanyakan pasaran ekuiti di Asia termasuk Malaysia berada dalam ‘Zon Merah’ minggu ini tetapi FBM KLCI merupakan antara pasaran yang mengalami pengurangan paling kecil berbanding pasaran Asia Tenggara lain seperti Thailand, Singapura dan FIlipina.

Pada masa sama, menurut Adam, harga kaunter sarung tangan akan terus meningkat didorong oleh permintaan bekalan sarung tangan yang begitu banyak di seluruh dunia.

“Secara keseluruhan untuk minggu ini, indeks sektor kesihatan yang merangkumi pembuat sarung tangan merekodkan kenaikan tertinggi iaitu sebanyak 8.3 peratus.

“Selagi Covid-19 masih belum dapat dikekang, kaunter sarung tangan getah dilihat akan terus meningkat terutama membabitkan Top Glove, seolah-olah syarikat itu menjadi proksi kepada sektor sarung tangan Malaysia.

“Namun, risiko yang dihadapi pembuat sarung tangan sudah tentu merupakan pene­muan vaksin yang mungkin boleh menjejaskan permintaan global terhadap sarung tangan,” katanya.

UTAMAEKONOMIPasaran modal cecah RM1.61 trilion - hampir atasi Singapura dalam tempoh 16...

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium