Pelarasan Gaji SSM Turut Dinikmati Penjawat Awam Di Tangga Gaji Maksima – CUEPACS

Penjawat awam yang telah mencapai tangga gaji maksima akan turut menikmati pelarasan gaji di bawah penambahbaikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

“Mekanisma pelarasan dan butiran terperinci akan kita bincangkan dalam suruhanjaya yang ditubuhkan nanti,” kata Presiden CUEPACS Datuk Omar Osman ketika dihubungi Bernama Khamis.

Najib hari ini mengumumkan pembatalan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan mengembalikan SSM yang ditambah baik selain mengumumkan pelarasan gaji di antara tujuh peratus dan 13 peratus bagi penjawat awam mengikut gred.

Perdana Menteri juga mengumumkan penubuhan suruhanjaya bagi mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam Malaysia, yang bukan sahaja melibatkan sistem saraan malah rupa bentuk perkhidmatan awam masa depan yang diperlukan negara.

Omar berterima kasih kepada Perdana Menteri bagi pihak penjawat awam di atas pengumuman tersebut dan meminta penjawat awam agar bersabar dengan pelaksanaan pelarasan gaji tersebut.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Hashim Adnan pula berkata keputusan membatalkan SBPA dilihat sebagai tindakan bijaksana yang memberi keadilan kepada semua pihak.

“Mungkin ada pihak yang kurang puas hati dengan keputusan ini, namun kita perlu rasional bahawa kerajaan dalam masa yang sama tidak mampu memuaskan hati semua pihak,” katanya.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) Khairil Niza Khairuddin yang menyambut baik pelarasan gaji itu bagaimanapun mahu kerajaan bertindak mengawal kenaikan harga barang di pasaran supaya tidak menjejaskan kenaikan gaji penjawat awam.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata pembatalan SBPA adalah bukti kerajaan mengiktiraf dan memahami beban rakyat terutamanya penjawat awam.

“Sistem negara moden memperuntukkan kerajaan perlu mengambil kira dan pandangan dari pihak peniaga mahupun masyarakat sivil dan pembatalan ini jelas menunjukkan Perdana Menteri kita telah mengotakan janjinya sebelum ini,” katanya.

Anggota tentera Saiful Azmie Mohammed, 35, yang bakal menerima kenaikan gaji 13 peratus berkata pembatalan SBPA adalah satu tindakan yang wajar.

“Anggota beruniform seperti saya yang berada dalam kumpulan antara gred 42 hingga 44 tidak ada bantahan dengan pembatalan dan kenaikan gaji,” katanya.

Seorang guru Mohd Sanusi Ismail, 46, berkata penjawat awam perlu bersyukur dengan kenaikan tersebut dan tidak patut mengeluh mahukan gaji yang lebih tinggi daripada kerajaan.

“Jumlah kenaikan telah diputuskan, saya tidak kisah kerana bagi saya mudah, jika kewangan kerajaan mampu dan ada bajet lebih, sudah pasti rakyat dan penjawat awam orang pertama yang akan menerimanya,” katanya.

Pensyarah sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam Zariyawati Shaari, 32, berkata pembatalan SBPA mempunyai kebaikan dan keburukan.

“Saya menerima kenaikan 13 peratus, namun masih terlalu awal untuk menilai dan terdapat beberapa isu yang masih tidak jelas mengenai pembatalannya.

Penolong Pentadbir Tanah Ahmad Fayadh Abdul Manap, 26, pula kecewa dengan pembatalan SBPA.

“Saya rasa SBPA ini memberi satu fasa baru kepada penjawat awam secara keseluruhannya. Sepatutnya SBPA yang perlu ditambah baik bukan SSM yang dikekalkan.

“Perlu diingatkan bahawa mereka yang mendapat kenaikan gaji berdasarkan skim SBPA merupakan pegawai kerajaan yang mempunyai kelayakan akademik setimpal,” katanya.

Beliau berkata kenaikan gaji pegawai kerajaan melalui skim SBPA secara tidak langsung boleh membantu mereka untuk membayar balik pinjaman pendidikan ketika menuntut di institut pengajian tinggi sebelum ini.

Kakitangan Majlis Perbandaran Bentung A Kalaichalvi, 32, berkata beliau berpuas hati dengan pengumuman hari ini kerana jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan dengan nasib kakitangan awam terutamanya golongan bawahan.

Wan Othman Deraman, 55, dari Majlis Daerah Besut berpendapat pelarasan gaji 13 peratus bagi kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana dari Gred 1 hingga 54 merupakan keputusan yang adil untuk semua penjawat awam.

“Pemansuhan SBPA pula kembali merapatkan jurang antara pegawai atasan dan kekananan,” katanya.

Mohd Noor Shukor, 54, yang bertugas di Jabatan Pertanian Negeri Perak pula beranggapan ia sesuatu yang adil dan saksama dan dapat menghapuskan segala kritikan terhadap kerajaan sejak SBPA diperkenalkan.

“Terima kasih Perdana Menteri kerana memberi khabar gembira dan berharap semua berpuas hati dan membalas jasa baik kerajaan dengan memberikan perkhidmatan yang terbaik,” katanya.

Petugas Jabatan Imigresen Johor Kee Siew Lan, 28, pula mengucapkan terima kasih kerana sudi mendengar setiap masalah yang dihadapi penjawat awam dan pemansuhan skim itu merupakan langkah tepat demi memastikan penjawat awam terus memberi komitmen dalam mutu kerja.

Di KEMAMAN, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata pengumuman Perdana Menteri mengenai pembatalan SBPA dan mengembalikan SSM yang ditambah baik adalah pilihan terbaik yang diberikan bagi penjawat awam.

“Kakitangan awam patut berpuas hati dengan apa yang diperjuangkan oleh CUEPACS sehingga Perdana Menteri sanggup membatalkan SBPA itu untuk memberi kepuasan kepada kakitangan kerajaan.

“Ini menunjukkan kerajaan semasa adalah kerajaan yang prihatin dan sentiasa menjaga kebajikan serta mendengar masalah rakyat,” katanya.

Di MELAKA, Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata kira-kira 4,000 penjawat awam termasuk berstatus kontrak di bawah Jabatan Ketua Menteri Melaka akan menerima kenaikan antara 7 hingga 13 peratus itu mengikut tarikh penyelarasan yang ditetapkan kerajaan pusat.

Katanya penyelarasan tersebut merupakan satu kenaikan yang wajar dan sebagai motivasi agar penjawat awam di negara ini dapat meningkatkan produktiviti negara ke arah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Facebook Comments

BERKAITAN

Kategori:

TERKINI

Kesesakan LRT: PH melalak dan merapu sembang fasal dasar pengangkutan awam, rakyat teraniaya

Korang nak tahu tak fasal LRT 3 yang dijangka dirasmikan dan digunapakai tahun 2023 nanti actually tersasar dari jadual asal sepatutnya tahun 2020 dah...

Gol pelik punca Selangor diratah JDT

Ketua jurulatih Selangor FC, Michael Feichtenbeiner menyifatkan dua gol pada awal permainan yang dijaringkan Johor Darul Ta'zim (JDT) mematahkan semangat pemainnya hingga diratah 1-5...

[Video] Jalan sesak akibat Kemalangan 2 lori terbalik di KM 425.7 (arah utara) PLUS Utara di antara Bukit Beruntung & Bukit Tagar.

Kejadian berlaku kira-kira jam 10 pagi di KM425.7 (arah utara) Lebuhraya Plus diantara Bukit Beruntung ke Bukit Tagar. Kesesakan berlaku sejauh 18 kilometer dari Rawang...

Syed Saddiq mempergunakan nama ibu bapa untuk berbohong?

Syed Saddiq didakwa mengeluarkan wang tunai RM1.12 juta secara tidak jujur daripada akaun bank PPBM untuk kegunaan sendiri. Daripada situ, dia menggunakan RM100k untuk membeli...

[Video] Seorang daripada dua remaja hilang akibat arus deras di Penampang ditemukan

Penampang: Seorang daripada mangsa yang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras di Sungai Kampung Pogunon, sejak semalam, ditemukan lemas di Sungai Moyog Kampung Pagansakan...

SPRM akan siasat individu terima dana UKSB termasuk Muhyiddin Yassin

SPRM dalam kenyataan berkata, agensi itu juga mengesahkan sudah menerima beberapa aduan terhadap individu terbabit Siasatan yang akan dijalankan mengikut bidang kuasa yang...

Artis versetile, Adibah Noor meninggal dunia

Ramai peminat masih tidak dapat menerima kenyataan pemergian artis versatile Adibah Nor. Media sosial di penuhi dengan berita pemergian beliau. Berita awal mengenai pemergian Allahyarham...

2 remaja maut motosikal bertembung kereta di Kalumpang

HULU SELANGOR: Dua remaja lelaki maut selepas motosikal dinaiki mereka, bertembung sebuah kereta di Kilometer 75 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh dekat Taman Keliang, Kalumpang di...

Dr Mahahir lindungi Muhyiddin daripada didakwa – Razlan

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Razlan Rafii mendakwa berlaku pendakwaan terpilih ketika pentadbiran Mahathir Mohamad, susulan laporan Muhyiddin Yassin dikatakan menerima dana daripada Ultra...