Undi Kaum India Beri Kesan Besar Pada Pilihan Raya Umum Akan Datang - pakdin.my

Komuniti India Malaysia mendengar ucapan Perdana Menteri India, Manmohan Singh di pelancaran Little India Brickfield.

Para penganalisis politik berpendapat sokongan pengundi kaum India akan memberi kesan besar pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, sama seperti pada PRU 2008.

Walaupun pengundi masyarakat India hanya mewakili 1.9 juta atau 7.3 peratus daripada 28 juta penduduk Malaysia, tetapi kehadiran mereka begitu bermakna bagi 63 daripada 67 kerusi parlimen di Semenanjung Malaysia.

PRU 2008 menyaksikan perubahan arus yang amat ketara apabila hampir 85 peratus pengundi kaum India menyokong Pakatan Rakyat (PR), pakatan pembangkang yang dianggotai PKR-DAP-PAS.

PR mendapat manfaat besar daripada peralihan sokongan pengundi kaum India apabila hanya 8.3 peratus daripada 72.4 peratus pengundi kaum itu yang menyokong Barisan Nasional (BN) pada PRU 2004, menyebelahi PR pada PRU 2008 kerana terpengaruh dengan isu yang dimainkan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf).

Bagaimanapun, satu arah aliran baru dikesan muncul ketika ini iaitu sokongan kaum India terhadap BN semakin meningkat, hasil daripada beberapa tindakan proaktif yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung perkara penting yang membabitkan kaum India seperti sekolah Tamil, kuil Hindu dan pendidikan.

Berdasarkan kaji selidik Merdeka Centre, tindakan proaktif Najib itu menyebabkan kadar sokongan terhadap beliau mengikut etnik mencatat peningkatan, dengan sokongan kaum India mencatat lonjakan paling tinggi iaitu kepada 80 peratus.

Dr Sivamurugan Pandian, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, berkata keputusan beberapa pilihan raya kecil sejak 2008 yang melibatkan kawasan Bukit Selambau, Bukit Gantang, Bagan Pinang dan Hulu Selangor dengan jelas menunjukkan peningkatan sokongan kaum India terhadap BN.

Beliau mengaitkan perkembangan itu dengan kesediaan Najib menangani isu penting yang membabitkan masyarakat India dan pola sokongan ini akan berterusan hingga PRU akan datang, terutama hasil peranan penting yang dimainkan badan bukan kerajaan (NGO) berasaskan kaum India dalam memantau pencapaian negeri yang ditadbir PR.

Ahli akademik itu berkata PR gagal memenuhi harapan NGO berasaskan kaum India, yang begitu berpengaruh dalam mengalih undi kepada Pembangkang pada 2008.

Selepas 2008, Hindraf berpecah kepada lima kumpulan. Satu kumpulan menyebelahi DAP, dua lagi membentuk Parti Makkal Sakti dan Parti Hak Asasi Manusia (HRPM) yang tidak didaftarkan, manakala selebihnya bergiat sebagai NGO.

Daripada lima kumpulan itu, HRPM merupakan kumpulan paling berpengaruh dan sekiranya parti ini menyertai PRU akan datang, ia mampu memecahkan sokongan terhadap BN dan PR.

Dr Sivamurugan berkata BN perlu memanfaatkan kedudukan kukuh Najib dalam kalangan masyarakat India ketika ini dengan meyakinkan kaum itu bahawa setiap undi mereka untuk BN bererti merupakan undi untuk Najib juga.

Bagaimanapun, kata beliau, untuk mewujudkan tanggapan kukuh tentang perkara itu, BN perlu mencari calon yang mampu meyakinkan pengundi bahawa itulah hakikatnya.

Ketua Pemuda MIC T. Mohan, yang juga mengesan kewujudan angin perubahan positif terhadap BN sejak kebelakangan ini, menganggarkan MIC kini mendapat sokongan daripada 60 hingga 65 peratus masyarakat India.

Perkembangan positif ini berlaku kerana pelbagai faktor, termasuk perubahan dalam kepimpinan parti, pertambahan jumlah pembiayaan untuk sekolah Tamil, pemberian lebih banyak tempat kepada pelajar India untuk mengikuti pengajian di peringkat matrikulasi dan paling penting, kata beliau ialah kejayaan Najib menghapuskan sebahagian besar rasa tidak puas hati kaum itu melalui program 1Malaysia yang beliau laksanakan.

Mohan berkata walaupun beberapa isu masih belum selesai, tetapi beliau yakin MIC akan mencatat kejayaan hampir dengan apa yang dicapainya pada 2004 dan menjangka 70 peratus hingga 75 peratus kaum India akan menyokong BN sekiranya parti gabungan itu meletakkan calon yang sesuai, dengan syarat “tida pihak membuat kenyataan yang boleh melukakan hati masyarakat itu”.

Bagaimanapun, naib pengerusi DAP dan Anggota Parlimen Ipoh Barat M. Kulasegaran menolak tanggapan BN bahawa parti gabungan itu semakin mendapat sokongan masyarakat India dengan berkata dakwaan itu tidak berasas.

“PR telah mengajak MIC berbahas tentang isu berkaitan kaum India seperti perbahasan antara Lim Guan Eng (setiausaha agung DAP) dan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek (presiden MCA). Keengganan mereka (MIC) menunjukkan mereka tidak mendapat sokongan. Mereka memang bernasib baik sekiranya menang atau dapat mengekalkan tiga kerusi parlimen yang mereka sandang sekarang,” katanya.

Kulasegaran berkata banyak isu asas seperti kadar pengangguran yang tinggi, keadaan sekolah Tamil yang begitu menyedihkan, ketiadaan pinjaman pelajaran atau biasiswa dan penyertaan rendah kaum India dalam pasaran ekuiti, masih belum ditangani sepenuhnya.

“Saya percaya masyarakat India lebih suka kepada PR kerana sikap terbuka serta kesediaannya bersuara untuk mereka dan dalam menangani keperluan mereka. PR sanggup melantik seorang India sebagai Timbalan Ketua Menteri Pertama di Pulau Pinang dan seorang Speaker dalam Dewan Undangan Negeri Perak,” katanya.

Bagaimanapun, beberapa penganalisis politik berpendapat sesetengah NGO berasaskan kaum India, seperti Hindraf, kini mendapati PR hanya “memberi fokus utama” terhadap pengundi Melayu dan Cina atau hanya menangani isu melibatkan masyarakat India secara satu persatu hingga menimbulkan kebimbangan masyarakat itu bahawa “perwakilan” mereka melalui PR akan lenyap.

Inilah sebabnya sesetengah pihak berpendapat sokongan masyarakat India berpecah dua dan mendorong BN serta PR, masing-masing yakin bahawa mereka mendapat sokongan kaum itu.

PR akan mengalami kekalahan teruk kali ini sekiranya ia gagal meraih sokongan besar kaum India seperti yang diperolehnya sebelum ini.

Sekiranya 30 peratus pengundi India membuat keputusan untuk tidak mengundi, ertinya BN dan PR perlu bersaing untuk mendapatkan sokongan baki 70 peratus pengundi lagi, yang dalam pada itu pula perpecah kepada tiga “segmen” unik — kelas bawahan, pertengahan dan atasan.

Sementara itu, Hindraf masih memiliki sedikit sebanyak pengaruh. Sekiranya ia menjauhkan diri daripada PRU, PR mungkin kehilangan cengkamannya di Selangor dan Kedah.

Sebaliknya, jika PR memberi tempat kepada Hindraf, pakatan itu perlu memenuhi tuntutan HRPM, sayap politik Hindraf yang tidak didaftarkan, agar ia diberi lima hingga tujuh kerusi parlimen untuk ditandingi.

Datuk Dr Denison Jayasooria, Ketua Felo Penyelidik, Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia, berkata beliau percaya kini, Hindraf sudah hilang keterampilannya akibat perbalahan dalaman yang dialaminya.

Beliau juga berpendapat sebahagian besar masyarakat kelas bawahan menyokong BN, manakala masyarakat kelas pertengahan dan atasan pula menyokong pembangkang.

Sambil menyatakan bahawa walaupun MIC mempunyai peluang lebih cerah pada PRU akan datang berbanding pada 2008, walaupun tidaklah sebaik pada 2004, tetapi perkara itu akan hanya menjadi kenyataan sekiranya parti berkenaan meletakkan calon yang berfikiran terbuka serta disenangi masyarakat lain, setelah resolusi yang dibuat berhubung isu saham MAIKA dan perubahan kepimpinan MIC, menyukarkan PR untuk mengambil sebarang kesempatan daripadanya.

UTAMAPOLITIKUndi Kaum India Beri Kesan Besar Pada Pilihan Raya Umum Akan Datang

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium