Prospek positif ekonomi pacu kenaikan ringgit - pakdin.my

Prospek positif ekonomi Malaysia disokong langkah holistik kerajaan membendung penularan COVID-19 mencetuskan peningkatan nilai ringgit, sekali gus membolehkannya menjadi antara mata wang berprestasi terbaik di ASEAN kebelakangan ini.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ringgit meneruskan prestasi amat memberangsangkan apabila nilainya terus meningkat berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) kepada RM4.1780 pada Jumaat berbanding RM4.4470 yang dicatatkan pada 24 Mac lalu.

“Peningkatan ringgit seiring angka jangkitan COVID-19 yang kekal rendah di Malaysia berbanding negara lain. Ia (pengukuhan nilai ringgit) juga disokong kejatuhan dolar AS yang turut memberi manfaat kepada matawang Asia yang lain,” katanya kepada BH.

Mengulas lanjut, Mohd Afzanizam berkata, pengukuhan ringgit turut disokong kemasukan pelabur asing dalam pasaran bon yang meningkat ketara apabila belian bersih yang direkodkan adalah RM7.1 bilion bulan lalu.

Katanya, pasaran bon Malaysia merekodkan peningkatan bulan ketiga berturut-turut susulan belian bersih daripada pelabur asing sekali gus memberi impak positif kepada ringgit.

“Kebanyakan pelabur asing begitu berminat untuk membeli Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) yang mana peratusan milikan asing terus meningkat kepada 38.2 peratus pada Julai berbanding 36.8 peratus pada Mac iaitu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Di samping itu, ringgit turut menerima suntikan memberangsangkan apabila kerajaan juga begitu komited untuk memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi tambahan sekiranya ada keperluan untuk berbuat demikian.

“Tidak terhenti di situ, Bank Negara Malaysia (BNM) yang dilihat berkemampuan mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) seterusnya berikutan suasana kadar inflasi yang rendah memacu prospek positif kepada ekonomi dan mata wang kita,” katanya.

Beliau menjelaskan, ringgit memiliki keupayaan untuk kekal dalam jajaran positif berbanding dolar AS dan mata wang ASEAN lain, namun kenaikan mendadak ini mungkin akan mengundang kegiatan mengambil untung serta berlakunya pembetulan teknikal.

Katanya, sekiranya berlaku, ia adalah sesuatu yang sihat kerana pembetulan teknikal akan membawa nilai ringgit yang lebih sejajar dengan asas ekonomi sedia ada sebelum ia meneruskan aliran menaik.

“Namun, faktor ketidakpastian pasaran seperti suasana tegang antara AS dan China mungkin menyebabkan kenaikan ringgit terhalang akibat daripada permintaan terhadap mata wang selamat seperti dolar AS yang bakal muncul.

“Oleh itu, peningkatan ringgit bukan semudah yang disangka kerana ada beberapa halangan seperti ketidakpastian ekonomi yang masih mendominasikan sentimen pasaran matawang,” katanya.

Bagi tempoh jangka pendek, Mohd Afzanizam berkata, ringgit mungkin berlegar sekitar RM4.17 dan RM4.18, namun, disebabkan ketidakpastian ekonomi, ia mungkin mencecah paras RM4.20 hingga RM4.25 menjelang akhir tahun.

“Selain ketidakpastian ekonomi, situasi harga minyak memberi kesan langsung kepada ringgit. Harga minyak amat bergantung kepada kedudukan ekonomi global serta komitmen negara pengeluar minyak untuk mengimbangi penawaran dan permintaan pasaran.

“Buat masa ini, negara pengeluar minyak OPEC+ masih mahu meneruskan langkah mengurangkan pengeluaran minyak. Oleh itu, kestabilan harga minyak mentah dunia seharusnya membantu dalam pengukuhan ringgit,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi MIDF Research, Abdul Muizz Morhalim, berkata keputusan Rizab Persekutuan AS (Fed) mengekalkan dasar kadar faedah yang rendah bagi menyokong pemulihan ekonomi yang lebih kukuh AS dijangka terus menyumbang kepada kelemahan nilai dolar AS dan memberi kelebihan kepada ringgit.

Katanya, kesan kadar faedah rendah di AS menyaksikan pengurus dana dan pelabur dijangka mengalih pelaburan ke negara lain termasuk Malaysia bagi mendapatkan pulangan pelaburan yang lebih baik.

“Dalam suasana kelemahan permintaan dolar AS, peningkatan nilai ringgit dalam tempoh sebulan yang lalu adalah sejajar trend peningkatan yang turut direkodkan oleh mata wang Asia lain,” katanya.

Beliau berkata, MIDF Research mengunjurkan nilai ringgit didagangkan sekitar RM4.15 hingga RM4.20 menjelang akhir tahun ini, namun tidak dinafikan bahawa ringgit mampu mengukuh ke paras yang lebih baik.

“Keyakinan terhadap pemulihan ekonomi negara dan kenaikan harga minyak mentah dunia akan memberi kesan positif menyokong pengukuhan nilai ringgit.

“Namun, terdapat risiko yang boleh mengekang pemulihan aktiviti ekonomi dan perdagangan antarabangsa, antaranya jumlah kes COVID-19 yang terus meningkat pada peringkat global dan risiko geopolitik serta perang perdagangan antara AS-China,” katanya.

UTAMAEKONOMIProspek positif ekonomi pacu kenaikan ringgit

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium