Penghinaan terhadap pasukan keselamatan tidak dapat dimaafkan - pakdin.my

Kenyataan berbentuk penghinaan seorang ahli politik yang mendakwa insiden pencerobohan Lahad Datu, pada 2013, sebagai sandiwara negara adalah suatu penghinaan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob, menyifatkan bahawa penghinaan berterusan terhadap warga pertahanan dan keselamatan yang mempertahankan tanah air dan kedaulatan negara ini tidak dapat dimaafkan.

“Apakah beliau sedar bahawa setiap anggota keselamatan menyabung nyawa untuk mempertahankan kedaulatan Sabah dan bumi Malaysia ini dari serangan pengganas yang menyeberangi lautan dari Pulau Siminul Filipina untuk memastikan rakyat dan bumi ini tidak ditakluk atau diceroboh.

“Keamanan yang beliau nikmati hari ini hasil dari semua pejuang-pejuang yang terdiri dari anggota-anggota keselamatan pelbagai agensi yang menggadaikan nyawa setiap saat dan waktu memastikan keamanan,” katanya menerusi laman blognya hari ini.

Beliau juga dalam satu kenyataan menyatakan tuduhan ahli politik terbabit adalah satu kenyataan biadap serta penghinaan kepada seluruh pasukan keselamatan negara khususnya kepada 10 keluarga anggota yang terkorban dalam peristiwa itu.

“Seluruh pasukan keselamatan khususnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengetahui akan kebenaran peristiwa itu dan tidak ada mana-mana pihak mempertikaikan secara terbuka berkaitan kebenaran peristiwa ini.

“Dalam suasana negara baharu sahaja menyambut Hari ATM yang ke-87, pada 16 September lalu, tuduhan ini mencerminkan betapa beliau tidak memahami serta memandang rendah pengorbanan pasukan keselamatan negara,” katanya.

Ismail juga turut mengingatkan kepada semua pihak untuk tidak menyentuh isu-isu sensitif yang boleh membangkitkan kemarahan dan rasa tidak selesa mana-mana pihak khususnya perkara yang membabitkan keselamatan dan kedaulatan negara.

Terdahulu, calon Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Mohamaddin Ketapi dilaporkan mendakwa tragedi di Kampung Tanduo, Lahad Datu hanya peperangan bersama ‘ayam’ dan ‘anjing’.

Dalam satu video ucapannya yang tular di media sosial, beliau berkata pihak berkuasa ketika itu mengerahkan segala kekuatan sedangkan peperangan tidak berlaku.

Bagaimanapun, beliau tampil memohon maaf kepada anggota keselamatan berhubung video mempersenda mereka yang tersebar sebelum ini.

UTAMAPILIHAN RAYAPenghinaan terhadap pasukan keselamatan tidak dapat dimaafkan

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium