Pencemaran Sungai Semenyih, 273 kawasan alami gangguan bekalan air - pakdin.my

Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi dekat sini, terpaksa dihenti tugas sepenuhnya susulan pencemaran air mentah di Sungai Semenyih.

Insiden itu menyebabkan bekalan air ke 273 kawasan meliputi 309,605 akaun pengguna mengalami gangguan tidak berjadual.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri, berkata gangguan bekalan air tidak berjadual membabitkan empat wilayah, iaitu Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.

“Kami sudah melaporkan insiden ini kepada Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan tindakan untuk mengenalpasti punca pencemaran Sungai Semenyih dan anak sungai di sekitarnya giat dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Elina berkata, Air Selangor sudah mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) bagi menggiatkan bantuan kepada pengguna yang terjejas berikutan insiden berkenaan.

“Pada masa ini, kami masih belum dapat menjangkakan tempoh masa pengoperasian semula loji dan pemulihan bekalan. Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa,” katanya.

Katanya, pengguna boleh merujuk perkembangan insiden berkenaan melalui aplikasi Air Selangor, semua saluran rasmi media sosial syarikat itu termasuk Facebook, Twitter, Instagram Air Selangor dan laman www.airselangor.com untuk maklumat berkaitan.

Pencemaran sumber air mentah utama untuk LRA Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi itu adalah yang kedua berlaku di Lembah Klang dalam tempoh kira-kira sebulan, selepas pencemaran Sungai Gong di Rawang, awal bulan lalu.

Dalam insiden terdahulu, sebanyak 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air berikutan pencemaran Sungai Gong akibat pencemaran minyak dari industri berhampiran sehingga menjejaskan kira-kira lima juta pengguna.

Tujuh wilayah berkenaan ialah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat. Susulan itu, empat ahli lembaga pengarah dan seorang pengurus syarikat membaiki jentera berat didakwa di mahkamah sebelum dibenarkan ikat jamin.

UTAMABERITAPencemaran Sungai Semenyih, 273 kawasan alami gangguan bekalan air

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium