‘Abah kau dah mula guna rotan’ - pakdin.my

Menurut Perdana Menteri, kerajaan tidak teragak-agak untuk melaksanakan SOP lebih ketat yang sebelum ini telah diberi kelonggaran jika rakyat terus ingkar dan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dilaksanakan pada masa ini.

Tegasnya, jika ada yang melanggar undang-undang, hukuman kompaun dan lain-lain akan dikenakan tanpa mengira pangkat dan darjat.

“Maaflah jika Abah ini mula menggunakan rotan!,” kata Perdana Menteri dalam Perutusan Khas yang disiarkan secara langsung menerusi laman sosial Facebook dari kediamannya, di sini semalam.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga sedang meneliti cadangan untuk mengehadkan majlis dan perhimpunan orang ramai bagi mengurangkan kebarangkalian jangkitan wabak Covid-19.

Dalam pada itu, Muhhyiddin menegaskan tidak ada double standard dalam mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan beliau sendiri pada masa ini sedang menjalani kuarantin di rumah setelah mempengerusikan satu mesyuarat yang dihadiri oleh seorang menteri yang disahkan positif Covid-19.

Katanya, Covid-19 tidak mengenal pangkat atau darjat dan virus itu boleh menjangkiti sesiapa sahaja, oleh itu SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa mesti dipatuhi oleh semua orang.

Sebagai Perdana Menteri, beliau juga tidak terkecuali daripada tertakluk kepada SOP yang kali kedua beliau jalani sejak pandemik Covid-19 melanda negara.

“Saya mesti patuh kepada peraturan. Bersama-sama saya yang dikehendaki menjalani kuarantin di rumah ialah tujuh Menteri dan 6 Timbalan Menteri. Kesemua mereka ini juga tidak terkecuali daripada mematuhi arahan kuarantin. Mereka mesti patuh kepada peraturan dan tindakan boleh diambil sekiranya mereka ingkar,” katanya.

Perdana Menteri berkata, sebagai Ketua Kerajaan, beliau memantau secara dekat perkembangan kes-kes Covid-19 dan akan membuat keputusan-keputusan penting untuk membendung virus ini daripada terus menular dalam masyarakat.

“Saya harap saudara dan saudari tidak mudah panik atau membuat kesimpulan sendiri berhubung situasi yang sedang dihadapi oleh kita semua. Elakkan penyebaran berita-berita palsu yang boleh menyebabkan kita keliru.

“Keputusan-keputusan yang dibuat oleh kerajaan khususnya menerusi Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan Covid-19 adalah berasaskan kepada data dan fakta yang dikumpul menerusi sumber-sumber yang mempunyai autoriti.

“Yang penting ialah kita tidak mudah menuding jari mencari kesalahan mana-mana pihak. Saya tahu ada pihak yang sengaja menangguk di air keruh pada waktu ini dengan mempolitikkan masalah yang sedang dihadapi oleh negara. Jangan kita pedulikan mereka. Kita mesti fokus kepada usaha untuk menangani pandemik ini secara bersama,” katanya.

UTAMABERITA'Abah kau dah mula guna rotan'

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium