Wakaf Air Bukti Malaysia Prihatin Nasib Penduduk Gaza - pakdin.my

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menderma untuk Tabung Gaza selepas melancarkan Waqaf Air Untuk Gaza di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Semasa serangan tentera Zionis di Gaza pada 2008, antara kemudahan infrastruktur yang mengalami kemusnahan ialah sistem kumbahan air.

Malahan serangan oleh tentera berkenaan dalam ‘Operation Cast Lead’ juga meragut 1,400 nyawa rakyat Palestin.

Kemusnahan terhadap kemudahan sistem kumbahan air itu menyebabkan antara 50 dan 80 juta air kumbahan separa atau tidak dirawat dilepaskan secara langsung ke Laut Mediterranean.

Perkara ini dipetik daripada laporan ‘Dashed Hopes: Continuation of the Gaza Blockade’ yang disediakan oleh 25 badan antarabangsa.

Dengan kemusnahan kemudahan itu juga menyebabkan 90 peratus air yang dibekalkan kepada penduduk di situ tidak selamat untuk diminum kerana dicemari garam serta nitrat.

Selain ancaman serangan bom, risiko ditangkap tanpa usul periksa serta penafian hak mendapatkan pendidikan, sumber air masyarakat Gaza turut terancam hari demi hari.

Tidak banyak yang boleh dilakukan rakyat Palestin. Sekatan darat, udara dan laut adalah jelas menunjukkan penafian hak asasi manusia yang menghalang sebarang aktiviti import dan eksport, akses ke tanah pertanian dan perairan untuk aktiviti perikanan.

Ini turut menghadkan pergerakan penduduk ke dalam dan luar Gaza. Akibatnya, beribu-ribu warga tempatan, kebanyakannya kanak-kanak menyabung nyawa untuk menyeludup masuk barang-barang keperluan melalui terowong bawah tanah melintasi sempadan Mesir setiap hari.

AIR

Simpati terhadap nasib mereka, Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF) meneruskan lagi usaha membantu masyarakat Gaza melalui program ‘WaqafWater4Gaza’ (WW4G).

Pemegang Amanah PGPF, Tan Sri Dr Shamsudin Hitam berkata, sejumlah 1.5 juta botol air (500 ml setiap satu) akan diberikan kepada penduduk Gaza sebagai tanda simbolik terhadap sokongan rakyat Malaysia kepada masyarakat Gaza melalui program ini.

“Tidak ada nilai minimum untuk setiap botol air yang diwakafkan, hasil sumbangan orang ramai kami akan gunakan sebaiknya untuk merealisasikan misi ini,” katanya selepas pelancaran Jelajah Keamanan dan WW4G di Putrajaya baru-baru ini.

Sehingga Februari lepas, kira-kira 400,000 botol air minuman dapat dijual untuk diwakafkan melalui program ini.

“Air akan dibeli di Mesir sebelum diagihkan ke Gaza. Dari perspektif logistik, cara ini jauh lebih mudah berbanding mengangkut 1.5 juta botol air dari sini (Malaysia) ke sana (Gaza),” tambah Shamsudin.

WW4G

Program WW4G dianjurkan bagi menanam semangat cintakan keamanan di kalangan rakyat Malaysia di samping bencikan sebarang tindakan kekejaman.

Ia juga bagi menunjukkan bahawa rakyat Malaysia adalah begitu prihatin terhadap kekejaman yang dilakukan oleh Zionis.

Program itu dirasmikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

KEKEJAMAN ‘HALAL’

Umum mengetahui kekejaman tentera Zionis terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat adalah satu jenayah kemanusiaan yang ‘dihalalkan’ oleh kuasa-kuasa besar dunia sekutu Israel.

Laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bertajuk ‘Humanitarian Situation in the Gaza Strip’ pada Oktober 2011 mendedahkan beberapa fakta yang mengharukan.

Menurut laporan itu, kira-kira 38 peratus daripada 1.6 juta penduduk Gaza hidup dalam keadaan miskin.

Daripada jumlah ini 50 peratus daripadanya terdiri daripada remaja dan kanak-kanak berumur bawah 18 tahun.

Selain kadar gaji purata yang menurun sebanyak 20 peratus sejak enam tahun lepas, 26 peratus daripada tenaga kerja (38 peratus daripadanya terdiri dari golongan pemuda) didapati menganggur.

Dalam masa yang sama kos sara hidup di Gaza semakin hari semakin meningkat.

Laporan ‘Dashed Hopes: Continuation of the Gaza Blockade’ oleh 25 badan antarabangsa termasuk Amnestey International, International Federation of Human Rights, Oxfam International dan Handicap International turut menyenaraikan pelbagai isu yang dihadapi masyarakat berkenaan.

Sebahagian daripada perkara penting yang disebut dalam laporan ini termasuk kelumpuhan ekonomi tempatan, penafian terhadap tempat tinggal dan pendidikan serta ‘kurungan’ sempadan terhadap masyarakat di Gaza.

TIMBULKAN KEINSAFAN

Program pelancaran ini turut mengadakan pameran khas ‘Perang Adalah Jenayah’ oleh PGPF. Menghimpunkan ratusan gambar dan fakta tentang peperangan di seluruh dunia, ia ternyata menghidupkan keinsafan buat sesiapa sahaja.

Imej berkaitan peperangan yang dipaparkan termasuk gambar askar yang terbunuh di medan perang serta penderitaan yang dilalui oleh wanita, kanak-kanak dan warga emas.

Kesan kemusnahan fizikal akibat bedilan bom di Gaza dan Iraq turut menjadi subjek utama pameran ini.

Pelajar tingkatan satu Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya, Muhammad Haziq Saharudin, 13, yang hadir dengan rombongan sekolah pada pameran itu, menyatakan rasa bertuah kerana dapat hidup dengan aman di Malaysia.

Rakannya Redzuan Izzani Othaman, 13, turut menyatakan rasa sedih melihat kekejaman kemanusian yang berlaku akibat perang.

“Saya tidak suka melihat orang mati. Saya sangat takut jika perkara sebegini berlaku di negara kita,” ujarnya.

UTAMABERITAWakaf Air Bukti Malaysia Prihatin Nasib Penduduk Gaza

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium