GST mampu pulihkan semula penarafan negara - pakdin.my

Cukai barang dan perkhidmatan (GST) mampu memperbaiki semula penarafan Malaysia ke kedudukan yang lebih baik, didorong pertambahan hasil pendapatan kerajaan, menurut pakar ekonomi.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata selain cukai yang dianggap telus dan cekap, GST mampu meningkatkan pendapatan kerajaan sekali gus membolehkan penarafan negara dinaikkan semula.

“Dalam kenyataan Fitch Ratings apabila mereka menurunkan penarafan kredit Kerajaan Malaysia daripada A- kepada BBB+, ada disebut bahawa kebergantungan kerajaan kepada dividen syarikat berkaitan kerajaan (GLC) semakin meningkat apabila GST dimansuhkan.

“Justeru, jika GST dihidupkan semula, kesan kepada penarafan kredit adalah positif dan peluang untuk dinaik taraf pada masa akan datang adalah cerah,” katanya.

Fitch Ratings awal bulan ini menyemak turun Penarafan Kemungkiran Penerbit (IDR) mata wang asing jangka panjang Malaysia kepada BBB+ daripada A-.

Agensi penarafan antarabangsa itu berkata, penurunan nilai IDR disebabkan krisis COVID-19 yang menjejaskan beberapa kredit metrik utama Malaysia, termasuk langkah kerajaan menangani pandemik dengan bantuan kewangan kepada rakyat dan perniagaan yang meningkatkan bebanan fiskal.

Katanya, metrik hutang kerajaan juga merosot disebabkan wabak berkenaan, sekali gus dijangka melonjak hutang kerajaan kepada 76 peratus daripada Keluaran Dalam Negara kasar (KDNK) 2020 berbanding 65.2 peratus pada 2019.

Mengulas lanjut, Afzanizam berkata, bagi memastikan pelaksanaan GST lancar, kerajaan perlu memastikan komunikasinya kepada rakyat berkenaan cukai itu adalah jelas.

Yang utama, tegasnya, rakyat perlu memahami GST menjadi pilihan kerana bersifat telus dan cekap dari segi kaedahnya mengutip cukai dan bukan untuk menurunkan harga barang.

“Berdasarkan data, kutipan GST pada 2017 adalah RM44.3 bilion yang mana adalah tahun terakhir kerajaan dapat membuat kutipan cukai penuh setahun, manakala kutipan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada 2019 pula adalah RM28 bilion, satu jumlah perbezaan yang besar.

“Rakyat Malaysia wajar membuat pertimbangan yang baik dalam menilai sesuatu dasar kerajaan, manakala di pihak kerajaan pula perlu menyingkirkan defisit kepercayaan sejauh-jauhnya.

“Isu rasuah perlu ditangani secara holistik serta koordinasi yang baik di antara agensi kerajaan perlu diperhebatkan bagi memastikan segala bentuk bantuan kerajaan sampai kepada pihak yang benar-benar layak.

“Pendek kata, mesti ada keberhasilan yang positif sekiranya GST mahu dilaksanakan dan kesan yang positif itu pula dapat dilihat dengan mata kasar rakyat,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia, Dr Yusniyati Yusri turut senada dengan mengatakan pelaksanaan GST yang mampu meningkatkan hasil negara secara tidak langsung boleh membantu meningkatkan semula penarafan negara.

“GST adalah satu sistem percukaian yang baik dan telus dari segi kaedah pelaksanaannya. Malah sistem cukai ini diguna pakai oleh majoriti negara maju di dunia.

“Negara jiran kita juga sudah lama mengguna pakai sistem percuakaian ini. Dalam tempoh empat tahun dari 2015 hingga 2018 kerajaan melaksanakan GST, sudah terbukti ia meningkatkan hasil kutipan negara.

“Maka sistem yang baik ini wajar diteruskan,” katanya.

Rujukan:
https://pakdin.my/tag/gst

UTAMAEKONOMIGST mampu pulihkan semula penarafan negara

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium