Tiada bayaran untuk lanjutan tempoh sah pasport antarabangsa buat rakyat Malaysia di luar negara - pakdin.my

Bagi warga Malaysia yang berada di luar negara dengan tarikh luput pasport mereka adalah pada 2021, Jabatan Imigresen Malaysia telah melanjutkan tempoh sah Pasport Antarabangsa Malaysia (MIP) mereka selama dua tahun. 

Catatan di Facebook, Bahagian Imigresen di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura mengatakan langkah itu bertujuan memudahkan pembaharuan MIP di luar negara.

“Pandemik COVID-19 telah menyebabkan banyak negara mengenakan pelbagai syarat dan sekatan perjalanan yang menyebabkan ramai warga Malaysia menangguhkan rancangan perjalanan mereka.

“Penangguhan yang berpanjangan ini menyebabkan ramai yang terpaksa tinggal lebih lama di luar negara dan ada di antaranya berasa perlu memperbaharui pasport mereka di luar negara kerana tarikh tamatnya telah hampir.

“Ini telah mengakibatkan peningkatan mendadak dalam bilangan pembaharuan MIP di pejabat luar negeri,” katanya.

Bahagian itu berkata mereka yang terjejas boleh memilih untuk mendapatkan cap pelanjutan itu di ‘Halaman Pemerhatian’ atau di mukasurat 48 pasport mereka di suruhanjaya tinggi atau kedutaan terdekat.

“Tiada bayaran dikenakan untuk pelanjutan tempoh sah itu,” kata kenyataan itu, menambah perkhidmatan untuk pelanjutan itu telah pun dibuka.

Menurut bahagian itu, mereka yang berminat boleh menyerahkan permohonan pelanjutan dengan mengisi borang yang boleh didapati di Suruhanjaya Tinggi dan mengembalikannya di kotak penyerahan yang disediakan.

“E-mel akan dihantar untuk tarikh temu janji,” katanya.

Pada masa sama, Bahagian itu berkata mereka yang ingin memperbaharui MIP mengikut prosedur semasa boleh meneruskannya.

Bagaimanapun, pembaharuan MIP termasuk pembaharuan dalam talian akan mengambil masa lapan hingga 12 minggu berikutan peningkatan permohonan MIP dalam sistem.

Bahagian Imigresen di Suruhanjaya Tinggi di sini mengatakan ia hanya dapat memenuhi sejumlah permohonan manual berikutan mesin dan tenaga manusia yang terhad serta mematuhi peraturan penjarakan sosial.

Bahagian itu mengatakan ia telah beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga 7.00 malam setiap hari sejak Julai 2020.

— BERNAMA

UTAMABERITATiada bayaran untuk lanjutan tempoh sah pasport antarabangsa buat rakyat Malaysia di...

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium