Dua Anggota Geng Buyung Mati Ditembak - pakdin.my

KOTA BHARU – Dua penjenayah yang sangat dikehendaki ditembak mati sepasukan anggota polis menyerbu sebuah hotel bajet di Jalan Sri Cemerlang, di sini, Selasa malam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata dalam kejadian pada pukul 8 malam itu, suspek yang merupakan anggota “Geng Buyung” dikenali sebagai Elezulhelmie Ilias, 24, atau lebih dikenali sebagai ‘Emi Lias’, dari Bekelam, Bachok, dan rakannya, Ahmad Izzuddin Che Deraman, 24, atau ‘Din Billion’ dari Jalan Marican, di sini, mati di tempat kejadian.

“Polis telah membuat serbuan di sebuah bilik hotel di tingkat satu hotel bajet berkenaan selepas mendapat maklumat daripada orang awam dan apabila pintu dibuka dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis, dua lelaki Melayu terjun melalui tingkap bilik bahagian belakang hotel berkenaan.

“Polis telah cuba untuk menahan suspek, namun seorang daripada mereka telah melepaskan tembakan,” katanya pada sidang berita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di sini, Rabu.

Jalaluddin berkata polis telah membalas tembakan untuk mempertahankan diri dan menyebabkan kedua-dua suspek mati di tempat kejadian.

Geng Buyung dikatakan amat aktif melakukan jenayah dan terlibat dengan pengedaran dadah. Anggota kumpulan ini sanggup melakukan apa sahaja termasuk membunuh sekiranya hasrat mereka dihalang.

Sebelum ini, polis Kelantan telah menubuhkan sebuah pasukan khas untuk menangani kes tembak yang meningkat secara mendadak pada tahun ini.

Dalam tempoh tiga bulan pertama, dilaporkan sekurang-kurangnya tujuh kes tembak berlaku tanpa mengenal mangsa, tua atau muda.

Keadaan ini amat membimbangkan sehinggakan Jalaluddin mengeluarkan amaran bahawa negeri ini bukan negeri Cow boy yang tiada undang-undang.

UTAMABERITADua Anggota Geng Buyung Mati Ditembak

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium