Kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan memfokuskan kepada Selangor Kuala Lumpur kerana kedua-dua negeri itu masih mencatatkan peningkatan kes positif Covid-19 yang tinggi.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan kini sedang meneliti langkah terperinci bagi memfokuskan kepada kedua-dua negeri itu dalam memastikan kesnya turun.

Ujarnya, perincian itu, termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor, akan diumumkan beliau pada petang ini.

“Kita mudah untuk membuat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor, kita boleh gunakan daerah, mukim tapi di Kuala Lumpur, tiada daerah di ibu negara dari segi pentadbiran daerah tiada, sempadan daerah tiada, itu yang kita sedang kaji.

“Petang ini akan saya umumkan tindakan kita di Selangor dan Kuala Lumpur yang kita nampak menyebabkan kes tak turun kerana separuh daripada kes di Malaysia direkodkan di negeri-negeri ini,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan di Pusat Pemberian Vaksin Mega (PPV) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, nilai ambang yang ditetapkan oleh kerajaan akan turut dikaji berdasarkan kepada negeri-negeri masing-masing.

Katanya, adalah tidak adil untuk negeri-negeri yang mempunyai kes rendah terus berada di nilai ambang yang sama seperti negeri-negeri yang mempunyai kes yang tinggi.

“Perlis misalnya, dia dua digit, malah kadang-kadang satu digit pun satu hari tapi kerana Selangor menyumbang kes yang besar dan masih diletakkan dalam fasa Satu, sepatutnya mungkin dibolehkan pindah ke fasa dua dan fasa tiga.

“Sekarang ini kita tengah perincikan, kita dah ada cadangan, dah bincangkan pun dalam mesyuarat sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN), cuma kia nak perincikan,” katanya.

Kerajaan sebelum ini meletakkan tiga indikator utama untuk bergerak ke Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) ialah purata kes harian Covid-19 menurun di bawah 4,000 kes, kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) pada paras sederhana dan kadar vaksinasi bagi populasi yang telah menerima dua dos lengkap mencapai 10 peratus.