Pemegang EP India naik sebab trend bakat global, bukan layanan lebih mesra Ceca - pakdin.my

SINGAPURA: Bilangan pemegang pas pekerjaan (EP) di Singapura yang merupakan warga India naik seganda dari 13 peratus kepada 26 peratus antara 2005 dengan 2020, dedah Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng dalam kenyataan menteri di Parlimen pada Selasa (6 Jul).

Kenaikan itu didorong oleh pertumbuhan pesat ekonomi digital dan kewangan Singapura serta trend permintaan dan bekalan global bagi kemahiran teknologi, kata Dr Tan.

Ia bukan kerana warga India “diberi layanan lebih baik” di bawah Perjanjian Kerjasama Ekonomi Menyeluruh India-Singapura (Ceca) yang merupakan perjanjian perdagangan bebas (FTA) antara Singapura dengan India.

Dr Tan juga menekankan terdapat salah tanggapan bahawa sekiranya warga India tidak mengambil pekerjaan sedemikian, ia akan diberikan kepada pekerja tempatan.

Meskipun terdapat jumlah bakat yang baik
dalam rakyat Singapura, ia tidak cukup untuk memenuhi keperluan syarikat-syarikat berbilang negara (MNC) yang melabur di Singapura.

Menekankan lagi apa yang dikatakan Pemerintah sebelum ini, Dr Tan menambah bahawa Singapura tidak boleh menutup pintunya kepada pekerja asing dan memberitahu pelabur asing untuk hanya menggajikan rakyat Singapura kerana ia akan menyebabkan banyak syarikat tidak mahu melabur di negara ini.

Dr Tang menyampaikan kenyataan menteri mengenai isu hangat itu selepas Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Leong Mun Wai dari Parti Kemajuan Singapura (PSP) berkata bahawa beliau akan menyahut cabaran Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam yang mengundangnya membuat pembentangan parlimen tentang Ceca apabila ia bersidang pada bulan Mei.

KEWARGANEGARAN PEMEGANG EP

Menjawab keprihatinan tentang banyaknya warga India dalam kalangan pemegang EP , Dr Tan berkata negara-negara asal kebanyakan pemegang EP adalah China, India, Jepun, Malaysia, Filipina dan Britain.

Mereka membentuk dua pertiga pemegang EP sejak 2005.

Meskipun peratusan pemegang EP dari India naik seganda sejak 2005, pemegang EP dari China pula kekal stabil.

Dr Tan menerangkan walaupun China dan India adalah dua pembekal terbesar pekerja berkemahiran dalam bidang teknologi di peringkat global, banyak syarikat-syarikat pemula dilancarkan di China.

Ini menyebabkan ramai warga China menetap di negara mereka untuk bekerja.

Namun, warga India dengan kemahiran teknologi masih perlu mencari peluang bekerja di luar negara, sebahagiannya kerana mereka ada kelebihan bertutur dalam bahasa Inggeris, kata Dr Tan.

Kedatangan karyawan teknologi dari India tidak unik kepada Singapura kata beliau sambil memberi contoh bagaimana India kini adalah sumber terbesar kedua golongan hijrahan di Amerika Syarikat dan ketiga terbesar di Britain.

“Memandangkan kekurangan tenaga manusia yang kami alami, jika pekerja tidak datang dari India, mereka akan datang dari negara lain. Saya berharap Encik Leong tidak menolak bulat-bulat warga India. Pokoknya adalah: adakah mereka membantu syarikat-syarikat kami, adakah mereka membantu membangunkan ekonomi kami dan menghasilkan pekerjaan lebih baik untuk rakyat Singapura? Jawapannya adalah ya,” ujar Dr Tan.

Namun, beliau maklum bahawa bilangan yang semakin bertambah mencetuskan ketegangan sosial dan kebimbangan dalam kalangan rakyat Singapura dan ini amat difahami dan memang dijangkakan memandangkan sifat sementara pemegang EP,” tambah beliau.

Keadaan sekarang ini dengan warga India kata Dr Tan, sama dengan situasi pada tahun-tahun 2000 di mana terdapat kebimbangan apabila golongan warga China yang bekerja di Singapura bertambah dengan ketara.

“Kita perlu membawa masuk bakat dan pekerja berkemahiran untuk terus membangunkan ekonomi sambil memantau bilangan pekerja asing agar kekal pada kadar yang kami boleh tangani dan mengimbangi ketegangan sosial yang akan tercetus dari masa ke masa. Ini adalah usaha mencari keseimbangan yang berterusan.

“Ia bukan satu pengubahsuaian sekali sahaja. Ia adalah keseimbangan yang kami harus pantau secara berterusan untuk mencapai kadar yang betul,” kata Dr Tan.

Dalam pada itu, beliau berkata terdapat salah tanggapan bahawa jika kami menolak pekerja asing daripada masuk ke Singapura, pekerjaan-pekerjaan akan diberikan kepada rakyat Singapura.

Dr Tan berkata ia adalah satu salah tanggapan kerana buat masa ini, sekitar 22,000 pekerjaan bagi karyawan, pengurus dan eksekutif (PME) yang masih belum dipenuhi.

Beliau juga tidak bersetuju dengan Encik Leong yang sebelum ini berkata bahawa dengan mengurangkan bilangan pekerja asing akan mengurangkan perlunya menggantikan PME lebih berusia.

Dr Tan berkata akan sentiasa terdapat penggantian PME, sama ada yang lebih muda atau berusia kerana industri berubah-ubah dan syarikat-syarikat berpindah.

“Tidak kira sama ada kita ada pekerja asing atau tidak, ia tidak akan berubah. Ia adalah sifat dunia perniagaan.”

– TODAYonline/SM/sm

UTAMABERITAPemegang EP India naik sebab trend bakat global, bukan layanan lebih mesra...

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium