Perluaskan Skop Siasatan RCI Tabung Haji, Ambil Kira Pelan Pemulihan – Asyraf - pakdin.my

Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berpandangan terdapat beberapa perubahan skop yang boleh ditambah baik menerusi Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji (TH) yang ditubuhkan hari ini.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata paling utama adalah, skop siasatan RCI juga perlu mengambil kira Pelan Pemulihan Tabung Haji yang telah dimulakan pada zaman PH.

“Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menzahirkan rasa terima kasih dan tahniah kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri di atas kejayaan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji (TH).

“Ini sejajar dengan perjuangan konsisten Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia selama ini, serta antara prasyarat utama yang telah dikemukakan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bagi memberikan sokongan kepada Tan Sri Mahiaddin Md Yasin sebagai Perdana Menteri dalam membentuk kerajaan baharu pada 11 Mac 2020;” katanya menerusi catatan di Facebook.

Namun begitu, katanya lagi pihaknya berpandangan terdapat beberapa perubahan skop yang boleh ditambah baik dan dipinda bagi memastikan matlamat RCI untuk menjaga kemurnian institusi Islam ini tercapai

“Pandangan Pemuda UMNO ini adalah berdasarkan perkara berikut. Pertamanya kelemahan Pelan Pemulihan ini telah ditegur oleh Ketua Audit Negara dalam Laporan Tahunan TH 2019. Namun sehingga sekarang tidak kelihatan apa-apa penambahbaikan ke atas teguran tersebut.

“Keduanya siasatan RCI akan juga merangkumi keabsahan jaminan ke atas hutang RM27.56 bilion UJSB kepada TH. Ini kerana walaupun PH berulang kali mengatakan bahawa hutang (sukuk) tersebut dijamin Kerajaan, tetapi hakikatnya ia tidak pernah dibentang di parlimen atau mematuhi Akta Jaminan Pinjaman (Pertubuhan Perbadanan) 1965

“Ketiganya, RCI juga perlu menelusuri kemampuan UJSB yang perlu membayar RM27.56 bilion kepada TH sebelum tahun 2027. Ini kerana berdasarkan jawapan Timbalan Menteri Kewangan II, YB Mohd Shahar Abdullah di Dewan Rakyat pada tahun lepas, UJSB hanya memperoleh pendapatan sebanyak RM234 juta bagi tahun 2019,” tambahnya.

Tambahnya lagi siasatan ke atas kemampuan UJSB ini akan membolehkan Suruhanjaya Diraja membuat cadangan-cadangan bagi memastikan amaun hutang dapat dibayar mengikut masanya dan sekaligus memelihara kepentingan institusi Islam dan para pendeposit

“Keempat siasatan ke atas Pelan ini juga akan membolehkan Suruhanjaya dapat menyiasat dengan tuntas kemampuan sebenar kewangan TH pada hari ini. Ini kerana berdasarkan Laporan Tahunan TH 2019, keuntungan nyata (hasil perniagaan normal) TH hanyalah RM210 juta. Sementara baki RM1.39 bilion lagi adalah keuntungan tidak nyata yang mana sebahagian besarnya datang daripada sukuk UJSB tersebut. Keuntungan tidak nyata ini adalah duit yang belum pun memasuki akaun TH lagi.

“Kelima siasatan ke atas Pelan Pemulihan TH ini akan membolehkan Suruhanjaya memberikan cadangan-cadangan penambahbaikan. Terutama jika kita melihat dokumen rasmi yang menyatakan dengan jelas bahawa sukuk tersebut tiada penarafan, tidak boleh diniagakan, tidak boleh dipindahmilik serta unsecured zero coupon (berisiko tinggi),” ujarnya.

Asyraf seterusnya menegaskan Pemuda UMNO amat berharap agar cadangan pindaan skop RCI ini akan dipenuhi oleh Kerajaan semasa dan pihaknya percaya bahawa siasatan ini perlulah menyeluruh bagi memastikan tujuan murni penubuhan RCI untuk memelihara kemurnian institusi TH ini akan tercapai.

Terkini, di dalam komen di statusnya itu Dr Asyraf berkata beliau telah dimaklumkan sendiri oleh Ismail Sabri bahawa skop siasatan RCI akan turut melibatkan semua aspek dalam Pelan Pemulihan Tabung Haji zaman PH sehingga 2020.

“InsyaAllah esok Kementerian Kewangan akan keluarkan kenyataan media untuk memperjelaskannya,” katanya. – UMNO Online

UTAMAPOLITIKPerluaskan Skop Siasatan RCI Tabung Haji, Ambil Kira Pelan Pemulihan – Asyraf

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium