Beberapa ahli Parlimen PKR bakal keluar parti selepas Anwar ‘dimalukan Istana’ - pakdin.my

PKR mungkin menerima gelombang kedua kehilangan ahli Parlimennya berikutan apa yang disifatkan seorang penganalisis sebagai satu kenyataan “mengaibkan” dari Istana Negara yang menolak dakwaan Anwar Ibrahim selepas mendapat perkenan mengadap Agong semalam, kata sumber kepada MalaysiaNow.

Sekurang-kurangnya empat ahli Parlimen dijangka keluar parti, dengan dua daripada mereka memberitahu MalaysiaNow mereka malu dengan “drama” di luar istana yang menjadi perhatian media selepas Anwar menghebahkan tentang pertemuannya dengan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

“Ada dalam kalangan kami diberi tekanan agar keluar parti, dan kenyataan istana hanya beberapa minit selepas sidang media Anwar semalam kelihatan seperti langkah terakhirnya,” kata seorang ahli Parlimen PKR.

Semalam, Istana Negara mengeluarkan satu kenyataan bertentangan dengan dakwaan Anwar yang beliau sudah menyerahkan “dokumen sahih” kepada Agong menunjukkan memiliki sokongan majoriti ahli Parlimen untuk menumbangkan kerajaan Muhyiddin Yassin.

Ahmad Fadil Shamsuddin, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara berkata, Anwar sekadar menyatakan jumlah ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya untuk membolehkannya mengambil alih Putrajaya.

“Bagaimanapun, beliau tidak mempersembahkan senarai ahli Parlimen bagi mengukuhkan dakwaan itu,” katanya.

MalaysiaNow difahamkan mungkin akan berlaku “gelombang kecil kedua” ahli Parlimen keluar PKR, selepas sebelas orang melakukannya ketika krisis politik pada Februari lalu.

Ketika itu, timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali mengetuai satu kumpulan ahli Parlimen mengisytiharkan diri mereka menjadi wakil rakyat bebas, dengan sebahagian besar kemudiannya menyertai Bersatu untuk menambah jumlah kerusi Muhyiddin di Parlimen.

“Kali ini, ia mungkin berempat, dengan dua daripada mereka dilihat tidak tahan menerima tekanan memalukan petang semalam,” kata pembantu rapat kepada seorang pemimpin kanan PKR kepada MalaysiaNow malam tadi.

Ahli Parlimen yang mewakili kawasan penting di Lembah Klang itu berkata, Anwar memberikan gambaran “penuh yakin” mengenai rancangannya Jumaat lalu semasa mesyuarat bersama wakil rakyat PKR.

Ahmad Fadil Shamsuddin, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara berkata, Anwar sekadar menyatakan jumlah ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya untuk membolehkannya mengambil alih Putrajaya.

“Kami turut diberitahu untuk memakai pakaian terbaik apabila rancangan itu berjalan,” kata ahli Parlimen itu.

Walaupun MalaysiaNow tidak dapat mengesahkan berapa jumlah sebenar ahli Parlimen akan keluar parti, sekiranya ia berlaku akan mengurangkan lagi jumlah kerusi PKR di Dewan Rakyat yang sememangnya sudah sedia berkurang.

PKR kini mempunyai 38 ahli Parlimen, namun MalaysiaNow difahamkan kumpulan tersebut membatalkan rancangan pada saat-saat terakhir walaupun memberi isyarat untuk menyertai Azmin pada Februari lalu.

Namun kali ini, tekanan semakin meningkat disebabkan rasa tidak puas hati dalam kalangan akar umbi, selepas Anwar dilihat gagal mengemukakan bukti kepada dakwaannya memiliki majoriti “kukuh” untuk menumbangkan kerajaan.

“Dan ini sudah menjadi episod lebih memalukan daripada gerakan 16 September, 12 tahun lalu,” kata seorang ketua cabang PKR di utara Perak kepada MalaysiaNow, merujuk kepada percubaan Anwar mengenepikan pentadbiran Abdullah Badawi menerusi pembelotan ahli Parlimen di Dewan Rakyat pada tahun 2008.

Punca utama kekecewaan ialah persepsi mengenai imej parti tercalar disebabkan kenyataan Istana Negara.

Seorang pemerhati politik berkata kenyataan itu boleh ditafsir sebagai “indikmen jelas” istana kepada pemimpin PKR itu.

Shamsul Amri Baharuddin, pengarah Institut Kajian Etnik (Kita) Universiti Kebangsaan Malaysia berkata Anwar “disekolahkan” oleh pihak istana, dan mewujudkan persepsi beliau tidak menghormati kepada proses undang-undang.

“Oleh itu, pihak istana menyekolahkan Anwar, menyuruh beliau mengikuti dan menghormati proses undang-undang seperti yang diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Anwar pada 23 September lalu mendakwa dirinya memiliki sokongan majoriti “kukuh dan meyakinkan” untuk membentuk kerajaan bagi memenuhi hasrat sekian lamanya untuk menjadi perdana menteri.

Beliau mendakwa memiliki sokongan ahli Parlimen yang cukup berada bersamanya, dan pada masa sama berkata pentadbiran barunya dikuasai majoriti Melayu.

Rujukan:

Agong Tangguh Jumpa Guan Eng Dan Mat Sabu, Tidak Umum Tarikh Baru
https://pakdin.my/serabai/agong-tangguh-jumpa-guan-eng-dan-mat-sabu-tidak-umum-tarikh-baru/

Anwar kelihatan ceria selepas menghadap Agong
https://pakdin.my/serabai/anwar-kelihatan-ceria-selepas-menghadap-agong/

Pertemuan Anwar tiada kena mengena dengan sokongan Ahli Parlimen
https://pakdin.my/serabai/pertemuan-anwar-tiada-kena-mengena-dengan-sokongan-ahli-parlimen/

UTAMAPOLITIKBeberapa ahli Parlimen PKR bakal keluar parti selepas Anwar ‘dimalukan Istana’

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium