Saya bertanggungjawab atas apa yang berlaku – Jurulatih Ziyad - pakdin.my

Jurulatih lontar peluru para negara Mohd Faizol Harun mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas insiden pembatalan pingat emas dimenangi jaguh lontar peluru kebangsaan Muhammad Ziyad Zolkefli di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Mohd Faizol berkata sebagai jurulatih beliau adalah individu yang paling dekat dengan Ziyad sepanjang temasya itu.

“Kepada semua pihak yang mencari siapa yang bersalah dan tidak bersalah dalam hal ni, saya selaku jurulatih kepada Ziyad, orang yang dekat dengan Ziyad, saya bertanggungjawab atas apa yang berlaku.

“Jangan menunding jari dekat orang lain,” katanya pada sidang media sambutan kepulangan kontinjen Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Katanya tidak timbul isu sabotaj terhadap Ziyad sebaliknya ia mungkin suatu kebetulan disebabkan kesilapan teknikal sambil mengakui beliau dan anak buahnya tiba tepat pada masanya untuk melaporkan diri.

Selasa lepas, Ziyad, 31, dinafikan sebagai pemenang pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 (masalah pembelajaran) dengan catatan lontaran sejauh 17.94 meter (m) yang juga rekod dunia baharu.

Beliau telah diklasifikasikan sebagai Did Not Start (DNS) atau tidak memulakan saingan susulan protes dilakukan terhadapnya oleh pasukan Ukraine yang mendakwa Ziyad lewat melapor diri di bilik menunggu sebelum pertandingan berlangsung.

Kontroversi melanda hari ketujuh temasya berprestij itu menyaksikan atlet Ukraine, Maksym Koval diumum sebagai pemenang emas dengan lontaran 17.34m sekali gus memecahkan rekod dunia milik Ziyad iaitu 17.29m yang dilakukan di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.

Pada masa sama, Mohd Faizol berkata beliau tidak mempunyai bukti menunjukkan Ziyad tiba pada waktunya di bilik menunggu tersebut memandangkan sebarang rakaman video atau gambar tidak dibenarkan.

“Kita sampai pada masa dan di situ masih ada jurulatih Ukraine, saya tak tahu kenapa dia berada situ, patutnya macam saya lepas hantar Ziyad saya pergi masuk tempat pertandingan, sebab kita tahu dia dah sampai di situ dan selamat,” jelasnya.

UTAMAGAYA HIDUPSaya bertanggungjawab atas apa yang berlaku - Jurulatih Ziyad

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium