Helikopter terhempas ketika latihan ‘hovering’ - pakdin.my

Helikopter ringan yang terhempas berhampiran Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Pulau Indah, hari ini dipercayai sedang membuat latihan penerbangan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Polis Bantuan Westsports memaklumkan sebuah helikopter terhempas di kawasan tanah lapang milik persendirian berdekatan PKFZ.

“Siasatan awal mendapati helikopter milik syarikat di Subang itu terhempas dan bahagian ekor terputus.

“Helikopter dipercayai sedang membuat penerbangan latihan. Ketika membuat latihan ‘hovering’ (mengekalkan kedudukan diam di udara pada aras tertentu) di kawasan tanah lapang itu, juruterbang hilang kawalan dan terhempas dari ketinggian kira-kira tiga hingga empat meter.

“Keadaan helikopter terbalik dan bahagian ekor helikopter tercabut dan tercampak lebih kurang 20 meter dari badan helikopter,” katanya.

Shamsul Amar berkata, kedua-dua mangsa yang cedera menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

Katanya, siasatan akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berjaya menanggalkan bateri helikopter jenis Robinson R66 Turbine dengan selamat.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor Hafisham Mohd Noor berkata, walaupun tiada kebakaran namun bomba perlu ‘standby’ untuk sebarang kemungkinan.

“Apa yang paling penting, anggota bomba perlu memeriksa perkara yang boleh menyebabkan kebakaran seperti bateri helikopter itu.

“Bomba mendapat maklumat daripada juruteknik helikopter itu mengenai kedudukan bateri dan menyediakan satu peralatan khas untuk menanggalkan bateri itu.

“Kerja-kerja ini membabitkan beberapa anggota bomba untuk ‘standby’ sekiranya berlaku kebakaran semasa proses berkenaan dijalankan. Dua ‘standby’ dengan alat pemadam api dan seorang ‘standby’ hos dan seorang lagi masuk ke dalam pesawat untuk menanggalkan bateri,” katanya ketika ditemui di lokasi tengah hari tadi.

Hafisham berkata, proses menanggalkan bateri itu mengambil masa kira-kira setengah jam.

“Semasa proses itu, anggota memaklumkan berlaku sedikit renjatan elektrik ke tangannya namun keadaan terkawal malah bateri juga dikeluarkan dengan selamat.

“Alhamdulillah semua selesai, tiada kebakaran atau letupan,” katanya.

UTAMABERITAHelikopter terhempas ketika latihan 'hovering'

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium