Pahang tak benar imam luar pimpin solat tarawih - pakdin.my

KUANTAN: Imam dari luar Pahang, termasuk dari pondok atau maahad tahfiz tidak dibenarkan memimpin solat tarawih di masjid atau surau di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata prosedur operasi standard (SOP) pengimarahan masjid dan surau di negeri itu sepanjang Ramadan juga tidak membenarkan penceramah jemputan dari luar Pahang selain menetapkan tiada tazkirah tarawih.

“Solat tarawih perlu selesai selewat-lewatnya pada jam 10 malam. Tazkirah yang dibenarkan ialah selepas solat Zohor dan sebelum solat Jumaat dengan tempoh maksimum 15 minit.

“Aktiviti tadarus dan khatam al-Quran dibenarkan selepas solat Subuh hingga sebelum Maghrib, manakala Qiamullail dibenarkan pada jam 10 malam terakhir mulai 3 jam pagi hingga solat Subuh,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Wan Rosdy berkata, sepanjang Ramadan penyertaan pelajar dari sekolah berasrama dan kanak-kanak bawah tujuh tahun untuk solat tarawih di masjid atau surau tidak dibenarkan, namun asrama sekolah dibenarkan untuk menganjurkan solat itu.

Katanya, jumlah jemaah juga berdasarkan kapasiti ruang solat yang disediakan dengan kawalan oleh pihak pengurusan masjid dan surau.

“Pihak pengurusan masjid dan surau bertanggungjawab memastikan SOP sentiasa dipatuhi.

“Ia (SOP) adalah dari segi pemakaian pelitup muka, pemeriksaan suhu dan pendaftaran menerusi aplikasi MySejahtera, PahangGo atau buku kehadiran serta membawa sejadah bersaiz besar,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya berlaku kes pelanggaran SOP dan penularan wabak COVID-19, kebenaran untuk menjalankan aktiviti pada Ramadan akan dibatalkan sehingga dibenarkan pihak berkuasa.

“Pihak pengurusan masjid dan surau perlu mematuhi pekeliling dan arahan yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP),” katanya.

UTAMAGAYA HIDUPAGAMAPahang tak benar imam luar pimpin solat tarawih

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium